MALAYSIAKINI
Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan inisiatif dikenali
sebagai '30 Per cent Club' ke arah meningkatkan bilangan wanita di
peringkat pembuat keputusan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata inisiatif sama
yang dilaksanakan di beberapa negara antaranya United Kingdom itu
dilihat berjaya menonjolkan wanita berkebolehan bagi mengisi jawatan
tinggi di sesebuah organisasi.
"Dalam hal ini saya difahamkan pihak Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi
dan Pelaksanaan) sedang meneliti kemungkinan bagi Malaysia mempunyai
kelabnya sendiri melalui mekanisme dan acuan kita sendiri," katanya.
Beliau berucap merasmikan Sidang Kemuncak Wanita 2014 anjuran KPWKM di ibunegara hari ini.
Turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul
Karim dan timbalannya Datuk Azizah Mohd Dun.
Muhyiddin berkata kerajaan menaruh harapan besar terhadap sektor swasta
untuk melonjakkan kepimpinan wanita bagi mencapai kepelbagaian dan
kesaksamaan gender.
"Dalam hal ini, kerajaan pada 2011 telah mengumumkan dasar
sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan
dalam sektor korporat," katanya.
Beliau turut menarik perhatian bahawa berdasarkan Laporan Penyiasatan
Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia 2013, 78.6 peratus daripada
keseluruhan jumlah wanita yang bekerja adalah pekerja dalam sektor
swasta.
Untuk itu, katanya, kerajaan telah menggubal dasar serta menyediakan
insentif untuk sektor swasta bagi meningkatkan guna tenaga wanita dan
memastikan golongan itu terus kekal dalam pekerjaan serta berupaya
mengisi jawatan-jawatan tinggi.
Timbalan perdana menteri menjelaskan dalam sektor awam juga terdapat
kumpulan dan bilangan pemimpin wanita yang mampu membawa perubahan
kepada cabaran bagi kesaksamaan gender.
Muhyiddin berkata bilangan wanita yang memegang jawatan tinggi dalam
sektor awam dijangka terus meningkat menerusi usaha Jabatan Perkhidmatan
Awam yang melaksanakan laluan peningkatan kerjaya secara 'fast track'
bagi pegawai kumpulan pengurusan dan profesional berpotensi tinggi.
Beliau berkata pada 2013, 205,557 atau 62 peratus daripada jumlah
pegawai awam di peringkat pengurusan dan profesional adalah wanita.
Justeru, beliau berharap semua pemimpin wanita yang memegang jawatan
tinggi dalam sektor awam supaya terus menjadi teladan dan pencetus
inspirasi kepada pegawai awam wanita yang lain untuk meningkatkan
kebolehan dan pencapaian bagi melayakkan diri memasuki 'fast track'.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga telah melaksanakan
pelbagai inisiatif bagi menyediakan peluang keusahawanan kepada wanita
antaranya dengan menyediakan skim pinjaman mudah bagi usahawan wanita
yang menceburi perusahaan kecil dan sederhana.
Mengenai Sidang Kemuncak Wanita bertema 'Trailblaze to the top',
Timbalan Perdana Menteri berkata ia menekankan kepada sifat kepimpinan
seseorang dalam membangunkan individu lain untuk menempa kejayaan.
"Ia bukan sahaja merujuk kepada kepimpinan dalam organisasi formal
tetapi juga dalam pelbagai konteks kehidupan, dan faktor utama penentu
kejayaan adalah setiap wanita perlu mempertingkatkan ilmu pengetahuan
bersesuaian dengan peredaran masa," tambahnya.
Persidangan sehari itu menarik kira-kira 1,050 peserta yang antara lain
mendengar pengalaman daripada penceramah tempatan dan antarabangsa
mengenai kejayaan yang dicapai.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan