HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 September 2014

'NUJ, di mana anda?' tanya Ambiga

MALAYSIAKINI



 


Bekas pengerusi bersama BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan mempersoalkan sikap Kesatuan Wartawan Kebangsaan  (NUJ) yang didakwanya berdiam diri sejak tangkapan-tangkapan dibuat di bawah Akta Hasutan.

"NUJ, di mana anda?" soalnya selepas pelancaran kempen #MansuhAktaHasutan oleh Jawatankuasa Peguam Muda (NYLC) malam tadi.

Mengulas mengenai penggunaan akta tersebut terhadap wartawan yang "hanya melakukan tugas mereka", beliau menggesa NUJ supaya "bangun dan berkata sesuatu" mengenai perkara itu.

"Wartawan perlu tampil menyokong mereka yang berdepan dengan penindasan ini. Dan saya masukkan (juga) wartawan dari media arus perdana kerana ia juga mungkin berlaku kepada anda," katanya.

Beliau mengulas mengenai wartawan Malaysiakini Susan Loone (kiri)
yang ditahan di bawah Akta Hasutan semalam berhubung laporannya berkaitan penahanan exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh.

Susan ditahan di bawah akta tersebut ekoran laporan temubualnya dengan Phee, di mana exco yang berusia 62 tahun itu memberitahu Malaysiakini: "Mereka bertanya kepada saya segala macam soalan, ambil gambar saya dan ambil cap jari saya sama seperti mereka akan lakukan terhadap seorang penjenayah".

Susan dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 11.45 malam, hampir sembilan jam selepas dia tiba di ibu pejabat polis Daerah Timur Laut di Pulau Pinang untuk disoal siasat pada pukul 3 petang. Susan diarah melaporkan kepada polis pada 3 Oktober.

Susan dan Malaysiakini sedang disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) 1948 Akta Hasutan kerana menyiarkan temubual dengan Phee ketika dia dalam tahanan polis awal pada hari Isnin kerana peranannya sebagai pengerusi Pasukan Peronda Sukarela di negeri ini (PPS) , yang diisytihar pihak polis sebagai haram.

Sementara itu, kumpulan advokasi wartawan, Centre for Independent Journalism (CIJ), mengutuk penahanan Susan yang "melaporkan apa yang orang lain kata".

Dalam satu kenyataan semalam, Pengarah CIJ Sonia Randhawa berkata penahanan Susan itu juga bercanggah dengan dakwaan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri  Najib Tun Razak terhadap kebebasan berdebat dan berbincang.

Tiada ulasan: