HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 September 2014

Paip bocor, 4.27 bilion liter air dibazir setiap hari

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: Lebih daripada 4.27 bilion liter
air
terawat, jumlah yang cukup untuk mengisi lebih 1,700 buah kolam renang bersaiz Olimpik atau bekalan air di Perlis bagi tempoh 53 hari didapati bocor dari sistem perpaipan negara setiap hari.
 
Pakar memberi amaran bahawa lebih banyak pembaziran akan berlaku melainkan langkah-langkah drastik diambil.
 
Jika disimpan, jumlah air tersebut boleh meringankan masalah bekalan air di Lembah Klang, yang berdepan kebimbangan kekurangan dan catuan air.
 
Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), air bukan hasil (NRW) menyumbang 36.6 peratus daripada semua air yang dipam keluar dari loji rawatan pada tahun 2013, atau kira-kira 5.69 bilion liter sehari.
 
Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 2012, yang menyaksikan NRW sebanyak 36.4 peratus.
 
Daripada jumlah ini, sekurang-kurangnya 75 peratus adalah disebabkan masalah seperti paip simen asbestos bocor dan masalah infrastruktur yang lain.
 
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran berkata, selagi paip ini tidak diperbaiki lebih banyak air akan hilang begitu sahaja walaupun kerajaan negeri menyegerakan pembinaan loji rawatan bagi memenuhi permintaan tempatan yang semakin meningkat. 
 
"Apabila Langat 2 selesai (pada 2017), ia akan mengepam 1,130 juta liter sehari (jlh). Jika masalah ini tidak berubah, 300 jlh air hanya akan hilang dari sistem," katanya kepada The Star. 
 
Walaupun tahap NRW di beberapa negeri sudah memperlihatkan pengurangan pada 2013, terdapat negeri lain seperti Selangor memperlihatkan lebih banyak air yang hilang.
 
Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA) Syed Mohamad Adnan Alhabshi berkata lebih dari RM20 bilion terpaksa dibelanjakan untuk menggantikan paip simen asbestos negara sepanjang 43,890km.
 
"Anda perlu membelanjakan RM500,000 untuk menukar 1km paip ini," kata beliau sambil menambah kerajaan negeri tidak mempunyai wang.
 
Beliau berkata operator air tidak dapat melabur untuk mengawal NRW memandangkan tarifnya yang rendah dan akan memberikan mereka hasil yang rendah. 
 
Ini juga dapat dilihat dalam statistik SPAN yang menunjukkan defisit sebanyak RM429 juta telah dicatatkan oleh gabungan semua negeri tahun lalu.
 
Ahli majlis MWA Hairi Basri berkata mengawal NRW bukanlah perkara mudah kerana banyak masalah paip berlaku di bawah tanah.
 
Pengarah Eksekutif SPAN Mohd Ridhuan Ismail berkata memerangi NRW bukan sekadar memperbaiki atau menggantikan paip bocor.
 
Katanya, usaha itu termasuk pemetaan rangkaian paip, menubuhkan zon pemeteran daerah dan pengurusan tekanan yang berterusan dan penyelenggaraan sistem.
 
"Ia bukan satu usaha yang dibuat sekali sahaja dan keseluruhan langkah memerlukan pelaburan yang besar," tambahnya.
 
Beliau berkata kerajaan negeri telah terjejas oleh tarif air yang rendah dan tidak boleh melabur dalam langkah-langkah pengurangan NRW, dan menambah modal insan juga merupakan satu cabaran.
 
Mohd Ridhuan berkata banyak negeri telah memindahkan aset mereka kepada Syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk memastikan kepentingan mereka dilindungi.
 
Beliau berkata kebanyakan negeri yang telah berbuat demikian telah berjaya mengurangkan NRW mereka dengan ketara. 
 
"SPAN percaya negeri-negeri yang masih tidak melakukan ini akan dapat memperbaiki NRW mereka sebaik sahaja melakukannya," katanya.

Tiada ulasan: