Meskipun tindakan Mahathir Mohamad menarik balik sokongannya merupakan pukulan paling berbisa kepada Najib Razak sepanjang lebih lima tahun pemerintahannya, Perdana Menteri masih lagi memikir-memikir apa langkah yang mahu diambil seterusnya.
Sambil enggan mengulas panjang mengenai beberapa kritikan Mahathir terhadapnya, Najib hanya menyatakan pemimpin UMNO menyokong barisan kepimpinan sedia ada, di samping menghormati Mahathir sebagai seorang negawaran kanan negara. Ia seolah-olah memberi maksud bahawa Najib tidak peduli dengan sebarang teguran selagi pimpinan UMNO bersama dengannya.
Beliau juga belum pasti sama ada akan menemui Mahathir secara peribadi atau tidak, sebaliknya hanya menyatakan tidak menolak kemungkinan akan berbuat demikian.
Tambah Najib lagi, "apa-apa kemungkinan boleh berlaku, tetapi kita anggap ini sebagai masalah dalaman parti dan harap dapat menguruskannya dengan sebaik-sebaiknya".
Reaksi Najib ini muncul setelah beliau dilaporkan memanggil Ketua-Ketua UMNO ke kediamannya untuk mendapatkan sokongan dan sebagai percubaan terus meminggirkan Mahathir yang mula tidak sehaluan dengannya.
Selain beberapa pemimpin kanan UMNO sebelum ini sudah menyatakan sokongan terbuka kepada Najib, bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam juga turut bersuara dengan menyatakan Mahathir sebenarnya tidak akan duduk diam sehingga seorang Perdana Menteri yang benar-benar sehaluan atau "klon Mahathir" muncul mentadbir negara ini.
Mengimbas kembali pertelingkahan Mahathir dengan beliau, Anwar Ibrahim dan Abdullah Badawi yang semuanya berakhir dengan penyingkiran, Musa Hitam juga percaya episod Mahathir dengan Najib ini menjurus kepada pengakhiran cerita yang sama.
Bagaimanapun jika Najib memandang ringan teguran Mahathir dengan berbangga sokongan bulat daripada pimpinan UMNO yang diterimanya tidak mungkin menggugat kedudukannya, beliau mungkin silap kali ini. Memang benar, mereka yang bergelar pimpinan utama di peringkat bahagian menyokongnya tetapi sentimen ahli adalah sebaliknya.
Memandangkan teguran-teguran Mahathir berkaitan ISA, Ordinan Darurat, masalah ekonomi, kaum, agama dan sebagainya adalah juga keresahan majoriti ahli UMNO peringkat bawahan dan pertengahan terhadap kepimpinan Najib yang boleh didengari di mana-mana, tidak dapat dinafikan apa yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri ini bakal menghakis lagi sokongan arus bawah terhadap Perdana Menteri.
Harus diakui majoriti ahli UMNO tidak setuju dengan penghapusan ISA kerana ia dianggap seperti kerajaan membuang senjatanya sendiri manakala meniadakan Ordinan Darurat pula menjadikan penjenayah bebas berkeliaran. Kelemahan Najib dalam menguruskan isu berkaitan kaum dan agama sehingga timbul beberapa ketegangan turut merimaskan kebanyakan ahli UMNO dan mereka kini merindui semula ketegasan Mahathir sepanjang 22 tahun memerintah negara sebelum ini.
Selama ini, mungkin sudah banyak perkara itu cuba diluahkan, sama ada dalam mesyuarat cawangan atau bahagian tetapi ianya tidak diendahkan kerana keinginan pimpinan bahagian memperlihatkan sokongan yang padu kepada Perdana Menteri. Tetapi apabila Mahathir menyuarakannya, semangat ahli bawahan kini melonjak kerana suara mereka yang selama ini terperam di bawah sudah mulai sampai ke telinga Putrajaya.
Sudah tentu yang mendapat keuntungan ialah Mahathir. Masalah yang dibangkitksn Mahathir dalam tegurannya kepada Najib juga sebenarnya bukanlah masalah dalaman UMNO tetapi berkaitan cara menguruskan negara. Walaupun menjadi kesukaan Najib menangguhkan penyelesaian masalah dengan menyapunya ke bawah karpet dan menjadikan permukaan seolah-olah bersih, beliau tidak harus lagi sekadar diam dengan teguran Mahathir ini.
Teguran Mahathir memperlihatkan semua masalah yang berlaku sekarang adalah berpunca daripada kelemahan kepimpinan Najib yang secara umumnya menjadikan beliau tidak layak lagi mentadbir negara ini. Tafsiran daripada tindakan Mahathir ialah Jika Najib terus dengan gayanya sekarang memimpin negara ini, lebih banyak masalah dan kemusnahan akan berlaku.
Oleh itu, Najib mesti menyatakan sama ada beliau sedia berubah sebagaimana yang dikehendaki oleh Mahathir dan dituntut oleh majoriti ahli UMNO itu. Jika sedia untuk berubah, bersedialah untuk bertemu dan mendengar rungutan seorang 'bapa' serta kemudian mencari persefahaman dengannya.
Jika dengan mula mengumpul Ketua-Ketua UMNO dan meminta sokongan pelbagai pihak sebagai isyarat Najib sedia untuk "berperang" dengan Mahathir dan tidak mahu mendengar sebarang teguran lagi, beliau juga harus lebih berani dengan tampil secara terbuka menyanggah hujah-hujah bekas Perdana Menteri itu sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Abdullah Badawi dahulu.
Tetapi sebelum itu haruslah juga disedari bahawa bergaduh adalah kegemaran Mahathir kerana ianya adalah terapi yang sering menjadikan beliau lebih sihat, aktif dan bertenaga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan