KUALA LUMPUR: Bagaimana jika seorang individu terpaksa berhutang untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertiari atau membeli sesuatu keperluan asas yang harus?
Demikian pertanyaan yang dilontarkan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), Mohd Farkhan Md Zain.
Menurutnya, masalah itu harus dibincangkan secara terperinci sama ada dengan memanfaatkan instrumen zakat mahupun apa-apa produk kewangan Islam yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam untuk menyelesaikannya secara bersama.
Katanya, berdasarkan data yang diperolehi, tunggakan hutang pelajar Malaysia menjangkau kira-kira RM50 bilion tahun ini bersamaan dengan 9 peratus hutang negara.
Sehubungan itu beliau berkata, DPPWP menyarankan agar pihak berautoriti di Malaysia lebih memantapkan mekanisme pendidikan produk dan tatacara kewangan Islam kepada rakyat khususnya golongan muda.
"DPPWP menyanjung usaha yang digembleng oleh semua pihak dalam menjadikan negara sebagai hab kewangan Islam, namun beberapa perkara perlu diperkasakan di peringkat bawahan," ujarnya sempena program mega Global Islamic Financial Forum 2014 yang sedang berlangsung di ibu negara sepanjang tiga hari ini.
Antaranya, kata beliau kesedaran rakyat terhadap garis panduan status patuh Syariah terhadap produk-produk terkini dan rumit yang berada di dalam pasaran semasa seperti skim cepat kaya, transaksi emas, perak dan mata wang serta beberapa instrumen pelaburan lain.
Selain itu, tambahnya antara pemasalahan utama yang masih sulit untuk diselesaikan ialah pengurusan kredit (hutang) di kalangan rakyat Malaysia.
Menurutnya lagi, DPPWP difahamkan bahawa pihak Jakim dan Jabatan Wakaf, Haji dan Zakat (JAWHAR) telah berdiskusi mengenai isu hak asnaf ‘al-gharimin’ dan solusi bagi menyelesaikan masalah itu.
Begitu juga, kata beliau kekeliruan masyarakat Islam secara umum terhadap penggunaan dan penjualan insurans samada untuk produk am, pendidikan dan pengangkutan.
Sementara itu, ujarnya lagi ramai juga di kalangan rakyat yang masih tidak faham mengenai kepentingan wasiat, hibah dan faraidh.
Menurutnya, daripada data yang dilaporkan, kira-kira RM66 bilion harta pusaka umat Islam masih tidak dituntut.
DPPWP, kata beliau berharap agar usaha-usaha untuk meningkatkan kefahaman dalam ilmu mu’amalah dapat terus disegarkan supaya umat Islam peka dengan status kepatuhan Syariah sesuatu produk sebelum dimanfaatkan.
"Kami juga mengucapkan syabas kepada pihak kerajaan, Bank Negara Malaysia, penggiat industri perbankan dan kewangan Islam, ahli-ahli akademik dan lain-lain yang telah memacu sektor ini ke tahap yang boleh dibanggakan," ujarnya. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan