HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 September 2014

Poligami pun ada fiqhnya, inikan pula berpolitik

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF 


DALAM sesuatu permohonan poligami di Mahkamah Syariah, seringkali para hakim membawa perhatian mereka yang terlibat kepada kaedah-kaedah fiqh yang cukup lunak. Ia dilakukan sebagai menjustifikasikan sesuatu kebenaran wajar diberi atau sebaliknya.

Bukan setakat kes poligami, kaedah fiqh ini amat sesuai digunapakai dalam kehidupan sehari-harian termasuklah dalam hal-ehwal politik dan kenegaraan. Dalam pada kita mendepani sebarang kebuntuan atau hilang kekuatan untuk memantapkan keputusan, ia amat membantu agar sipemutus tenang dan bersedia melaksanakan keputusan yang dibuat.

Meneliti pelbagai kaedah fiqh ini, saya berpandangan wajar untuk dibiasakan dalam kemelut semasa mahupun yang mendatang. Sebagai pendokong agama yang maha sempurna, kita telah cukup rempah ratus untuk mengungkai setiap persoalan dan permasalahan.

Krisis yang mendatang wajar dijadikan peluang untuk kita menjadi hamba Allah yang lebih baik. Begitu juga dalam arena politik semasa.

Pertelagahan pendapat dalam menangani kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor misalnya seharusnya diambil kesempatan untuk semua dari kita meningkatkan keupayaan diri agar momentum kesepakatan yang terbina lebih bersepadu. Berfikir ke arah suatu yang melemahkan hanya akan merugikan semua dari kita.

Tika ini telah tersebar pandangan-pandangan liar agar kesepakatan yang terbina pasca Pilihan Raya Umum ke-12 2008 lalu dirungkai. Apakah wajar keputusan tersebut diambil?

Dengan keputusan muktamar sejak 2008, kita sebenarnya tiada pilihan selain daripada memperkukuhkan kesepakatan yang sedia terbentuk. Telah banyak alasan yang diberikan ke arah pengukuhan tersebut dan ia cukup diketahui oleh seluruh ahli, pendokong dan penyokong PAS.

Yang ingin saya utarakan dalam penulisan ini hanyalah beberapa kaedah fiqh yang boleh diperhati dalam memperkukuhkan pendirian. Antara terus kekal atau keluar dari Pakatan Rakyat, sekurang-kurangnya dua kaedah fiqh yang saling berkait boleh diberi perhatian.

Mengelak kemudaratan adalah lebih baik daripada mengambil manfaat.

Apakah mudarat dan manfaat di sebalik keputusan yang boleh dilihat? Kita perhatikan situasi bila mana PAS membuat keputusan untuk bersendirian tanpa mengadakan pakatan politik atau “Tahalluf”.

Kepada mereka yang berpandangan PAS wajar bersendiri, PAS dilihat bebas membuat keputusan politik tanpa terikat dengan mana-mana pihak. Apatah lagi keputusan-keputusan tersebut dikaitkan dengan prinsip perjuangan PAS, iaitu Islam. Nyatanya ini adalah manfaat yang mungkin diperoleh PAS apabila bersendiri.

Dalam sudut pandang lain, bagi yang tidak bersetuju dengan situasi PAS bersendirian pengalaman-pengalaman lalu telah cukup menceritakan segalanya. PAS kehilangan banyak kerusi dan undi sewaktu PAS bersendirian berbanding sewaktu bersama dalam pakatan politik atau “Tahalluf”.

Banyak sudah fakta-fakta tersebut dikemukakan dan ia telahpun menjadi pengetahuan umum.

Dalam situasi ini, bersendirian tanpa menyertai mana-mana pakatan adalah suatu kemudaratan kepada PAS. Dalam keadaan sebeginilah kaedah fiqh yang dinyatakan relevan iaitu mengelak kemudaratan adalah lebih baik dan afdhal dari mengambil manfaat.

Mengelak kemudaratan iaitu mengelak dari kesan-kesan buruk bila PAS bersendiri adalah lebih baik dari mengambil manfaat ketika PAS bersendiri. Dengan kata-kata lain, mengenepikan manfaat yang boleh dicapai jika PAS bersendiri adalah lebih wajar berbanding menanggung risiko (kalah banyak kerusi dan hilang undi) ketika PAS bersendiri. Justeru, tiada keputusan yang lebih baik selain dari terus kekal dalam Pakatan Rakyat dalam tahalluf yang diputuskan.

Menanggung mudarat yang lebih kecil dari mudarat yang lebih besar.

Kekal dalam Pakatan Rakyat bermakna kita akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai kerenah dalaman sesama parti dalam Pakatan Rakyat. Itu adalah suatu kemudaratan yang perlu ditanggung oleh PAS dalam tahalluf ini.

Seterusnya wajarlah kita tanya, apakah kemudaratan itu lebih besar dari kemudaratan bila PAS bersendiri?

Sebagaimana yang telah saya nyatakan di atas, umum mengetahui betapa pengalaman membuktikan kita kerugian peluang dakwah dan membawa perubahan banyak setiap kali bersendiri. Justeru, menanggung mudarat yang lebih kecil iaitu kekal dalam Pakatan Rakyat adalah lebih baik dari menanggung kemudaratan yang lebih besar bila kita bersendiri.

Mahu tidak mahu kita tiada punyai banyak pilihan. Percaturan kita hanya satu iaitu perkukuhkan PAS dalam tahalluf yang sedia ada. Baiki setiap kelemahan agar kehebatan perjuangan yang dipertahankan dapat kita tampilkan. Manfaatkan setiap ruang agar PAS terserlah dan diiktiraf sebagai abang yang paling berwibawa dalam Pakatan Rakyat. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: