HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 September 2014

Rusuhan Penyokong di Stadium Bukan Budaya Sarawak

RAKYATNEWS


alt
 


KUCHING, - Rusuhan yang berlaku di Stadium Negeri di Petra Jaya di sini selepas perlawanan bola sepak Piala Malaysia Sabtu lepas tidak mencerminkan budaya masyarakat Sarawak yang cintakan keamanan.

Menteri Pembangunan Sosial Sarawak Tan Sri William Mawan berkata, insiden selepas perlawanan yang menyaksikan pasukan Ngap Sayot seri 1-1 dengan Perak harus dilihat sebagai kes terpencil.

"Kita perlu segera bertenang dan bertindak untuk (menahan) mereka yang mencetuskan rusuhan. Saya tidak fikir insiden ini (disebabkan oleh) sentimen. Ini bukan fenomena biasa di Sarawak walaupun kami meminati bola sepak," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Grand Sarawak pertama yang disempurnakan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

"Saya fikir mentaliti masyarakat di sini (Sarawak) tidaklah begitu teruk jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di tempat lain," kata Mawan.

Dalam insiden kira-kira 11 malam itu, kira-kira 2,000 penonton memasuki padang sebelum membakar suar dan mercun selain melontar objek ke arah anggota polis yang bertugas di stadium.

Walaupun polis dapat mengawal keadaan dan memujuk mereka supaya bersurai dalam tempoh 30 minit selepas itu, keadaan semakin buruk di luar stadium apabila sekumpulan lelaki mula merosakkan tujuh kenderaan polis dengan sebuah daripada kenderaan itu musnah sama sekali akibat dibakar.

Lima lelaki termasuk empat remaja ditahan di tempat kejadian selepas polis berjaya mengawal keadaan.

Mawan berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak, pihak berkuasa stadium dan polis untuk mendapat maklumat lengkap tentang insiden itu.

Walaupun mengaku insiden itu mencemarkan imej Sarawak, beliau berkata apa yang paling penting sekarang adalah mengenal pasti cara terbaik untuk mengelak insiden seperti itu daripada berulang. Foto - Utusan Online

Tiada ulasan: