PUTRAJAYA - Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed membidas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa kemenangan BN di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) itu gara-gara dua penyakit yang dideritai rakyat.
Sebaliknya, menurut Nur Jazlan, Rafizi sendiri yang menghidap tiga penyakit.
"Rafizi ini...satu, dia tak mahu mengaku kelemahan sendiri. Kedua, suka menyalahkan orang lain. Ketiga, tidak terima hakikat sudah terang-terang Pakatan Rakyat (sekarang Pakatan Harapan) suatu pembohongan kepada rakyat kerana mereka sendiri tidak boleh nak bekerjasama.
"Tapi mereka kata diri mereka itu kerajaan alternatif. Sebenarnya mereka berbohong kepada rakyat," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.
Semalam, Rafizi mendakwa kemenangan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana rakyat dijangkiti penyakit sentimen perkauman atau keagamaan dan penyakit kebendaan.
BN menyambut kemenangan besar di kedua-dua PRK itu dengan peningkatan majoriti berbanding pilihanraya umum yang lalu.
Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, ketika BN berdepan tentangan Pakatan Rakyat yang kukuh sebelum ini, BN tidak berdiam diri.
"Politik bukan kekal selama-lamanya. BN pun semasa kita menerima tentangan hebat daripada Pakatan Rakyat, kita pun memperbaiki diri sendiri.
"Tapi, Rafizi ini sentiasa menyalahkan orang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan