SHAH ALAM – Anak lelaki Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohamad Abduh berpesan kepada mana-mana pihak yang menyebarkan kata-kata Allahyarham ayahnya itu agar menyertakan sekali sumber ia diperoleh.
Menurut Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, ia bagi mengelakkan perbuatan golongan yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kata-kata yang bukan dari bekas Menteri Besar Kelantan itu.
“Kepada rakan-rakan yang menjadi penyebar pertama kalam-kalam nasihat dan motivasi Allahyarham ayahanda Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, saya sarankan agar disertakan juga dua perkara utama, pertama, penerbit dan kedua, dari sumber mana kalam itu diambil.
“Rujukan ini amat penting bagi mengelak perbuatan golongan yang beringan-ringan dan tidak bertanggung jawab sehingga menukilkan kalam yang bukan daripada ayahanda. Begitulah Islam mementingkan keaslian sumber yang sahih bagi menghidupkan hati-hati manusia dengan cara yang benar dan diredai,” katanya
melalui status yang dimuat naik di Facebooknya, semalam.
Nik Abduh turut mencatat doa, “semoga ALLAH menjadikan kita semua dari kalangan orang-orang yang berjaya membersihkan diri di bulan Ramadan yang penuh kemuliaan dan ketinggian ini.”
Allahyarham Nik Abdul Aziz menghembuskan nafasnya yang terakhir Februari tahun lalu selepas menderita kanser.
Terbaharu, keluarganya membuka Galeri Tok Guru di hadapan kediaman keluarga itu yang mempamerkan barangan peribadi Allahyarham untuk tatapan umum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan