HALAMAN SANTAI

Ahad, 3 Julai 2016

‘28 tahun makcik suapkannya makan’

‘28 tahun makcik suapkannya makan’
Samsiah dan Uda sewaktu menerima bantuan zakat disampaikan Rozi sewaktu Majlis Berbuka Puasa N21 Telemong 1437H/ 2016M di perkarangan Pejabat Dun Telemong, di Kuala Berang, kelmarin.
 
 
KUALA BERANG - “Biarpun sudah 28 tahun makcik menyuapnya makan kerana dia tidak dapat makan sendiri, namun tidak sekalipun di hati ini terdetik rasa jemu. Dia anak syurga, selagi ada kudrat makcik akan tetap jaganya sebaik mungkin,” luah Samsiah Ahmad, 66.

Menurut ibu tunggal 11 anak daripada Kampung Tapah ini, anak kesembilannya, Mohd Daud Omar, 28, membesar tidak sebagaimana insan lain berikutan masalah dialami ketika dalam kandungan dan anaknya dapat berjalan ketika usia tujuh tahun.

“Selepas dilahirkan, fizikalnya sudah pun berbeza dengan bayi lain dan paling ketara ialah pada tangannya kerana kelihatan begitu mengecil. Akibat daripada itu, perkembangan tumbesaran Uda (Mohd Daud) begitu lambat, dia juga alami masalah untuk bercakap.

“Sebelum ini, makcik berkongsi kesusahan dan kesenangan anak istimewa ini bersama suami, Omar Sulaiman, namun ALLAH SWT lebih menyayanginya. Suami meninggal dunia 27 Disember tahun lalu setelah enam tahun derita kanser usus, selain itu dia juga ada masalah jantung.

“Kini segalanya tergalas atas bahu makcik, syukurlah anak-anak sudah besar dan telah kahwin serta bekerja. Uda juga dapat duit bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan, duit itulah buat belanja harian selain daripada pemberian anak-anak,” katanya.

Kisah kehidupan dilalui Samsiah dikongsikan kepada media selepas menerima bantuan zakat bagi kategori penerima asnaf sempena Majlis Berbuka Puasa N21 Telemong 1437H/ 2016M di perkarangan Pejabat Dun Telemong, di sini, kelmarin.

Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri merangkap Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat dan seramai 200 penerima bantuan zakat berkenaan melibatkan jumlah keseluruhan RM30,000.

Tambah Samsiah, selain dia dan Uda, dua lagi anak perempuannya berusia 24 serta 22 tahun tinggal bersamanya kerana dia belum mengizinkan mereka bekerja berikutan baru sahaja kehilangan ketua keluarga.

“Anak yang berumur 24 tahun lepasan Universiti Sains Malaysia, manakala adiknya daripada Institut Pertanian. Mereka berdualah menemani makcik dan Uda sekarang.

“Apabila sampai masa nanti, makcik pasti akan bagi mereka bekerja cuma tidak untuk masa sekarang. 
Biarlah sementara waktu ini, kedua-duanya bersama makcik untuk mengurus abangnya terlebih dahulu

Sementara itu, Rozi berkata bantuan sedemikian diharapkan dapat meringankan beban para penerima
sekaligus menggembirakan mereka terutamanya untuk berbelanja bagi menyediakan kelengkapan pakaian raya serta persediaan lain untuk menyambut ketibaan Aidilfitri.

“Selain agihan zakat, hari ini (kelmarin) juga kita adakan penyampaian modal kepada peniaga kecil daripada Yayasan Pembangunan Usahawan melibatkan seramai 16 penerima dengan jumlah bantuan sekitar RM14,000. Diharapkan peniagaan diusahakan bertambah maju.

“Sumbangan Ihya Ramadan bagi Surau dalam Dun Telemong daripada Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu juga turut disamapikan melibatkan 24 buah surau selain penyampaian cenderahati raya kepada pengerusi jkkk, ketua cawangan serta sayap-sayap parti,” ujarnya.


Tiada ulasan: