Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian
berpendapat penganjuran Sesi Penerangan Ketua Menteri Bersama Rakyat di
Pulau Pinang hari ini tidak lebih sebagai cubaan menagih simpati.
"Tujuannya adalah untuk meningkatkan simpati terhadap beliau
seolah-olah menjadi mangsa pembunuhan mangsa karakter dan pencaturan
politik," demikian ujar Sivamurugan ketika dihubungi Antarapos, hari
ini.
Bagaimanapun tambahnya, sesi penerangan tersebut belum tentu mampu
menjamin keyakinan penuh rakyat terhadap Guan Eng berkenaan dua tuduhan
rasuah yang dihadapinya.
"Kemungkinan majlis itu diadakan bagi memberikan penerangan khusus berkaitan kes beliau, dari sudut pandangan beliau sendiri.
"Namun sejauh mana ia mampu mempengaruhi pandangan terhadap pendakwaan
itu akan menimbulkan dilema, sebab mungkin akan merasakan wajarkah ia
diadakan sebelum pendakwaan bermula dan bagaimana implikasi dari sudut
undang-undang.
"Bagi penyokong setia parti, sudah pasti Guan Eng tak bersalah. Namun
bagi golongan atas pagar, sesi penerangan ini diadakan untuk mendekati
mereka yang merasakan Guan Eng bersalah atau tidak. Mungkin yang jadi
tumpuan adalah percaya atau tidak, atau beri keyakinan kepada mereka
seolah-olah Guan Eng tidak bersalah," ujarnya lagi.
Khamis lalu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP didakwa atas dua
tuduhan rasuah berhubung isu pembelian banglo di Jalan Pinhorn yang
dibelinya di bawah nilai pasaran dan menggunakan kedudukannya bagi
meluluskan permohonan pengezonan semula lot pertanian kepada lot
perumahan.
Dalam Sesi Penerangan Ketua Menteri Bersama Rakyat di Dewan Sri Pinang
hari ini, Guan Eng mengakui bimbang akan sokongan rakyat terhadapnya
akan pudar di atas dua pertuduhan rasuah berkenaan.
Namun Guan Eng menegaskan tidak akan meletak jawatan atau bercuti
sementara sehingga dua pertuduhan itu selesai dibicarakan di mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan