Oleh Muhammad Asyraf Azlan
PETALING JAYA: Walaupun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih
menjadi aset kepada Pakatan Harapan (PH) namun gagasan pembangkang itu
harus mempersiapkan diri untuk mengekal daya saing politik melalui
"bentuk-bentuk yang lain", tegas Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan
Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PH memerlukan ikon baru
bagi menggantikan Anwar dengan menamakan bekas Perdana Menteri, Tun
Mahathir sebagai ganti.
"Dokongan rakyat terhadap Anwar sebagai figura itu tetap ada dan bagi
PH beliau tetap merupakan aset untuk kita maju ke hadapan walaupun kita
menyedari bahawa di samping figuranya, kita juga harus mempersiapkan
diri dalam bentuk-bentuk yang lain.
"Contohnya, dengan mempunyai dasar-dasar PH yang lebih radikal dan
lebih lengkap daripada yang pernah ada pada zaman Pakatan Rakyat.
"Kita harus mempunyai dasar-dasar yang begitu menggamit imaginasi
rakyat, boleh meyakinkan rakyat bahawa sebaik sahaja jika kita menang
dan berada di Putrajaya, kita tidak akan buang masa, kita akan terus
laksanakan dasar-dasar itu sebab ia betul-betul lengkap sehingga boleh
dilaksanakan secara terus," katanya di dalam wawancara khas bersama Antarapos.
Tambah Saifuddin lagi, parti pembangkang perlu mula memperkasakan
jentera pilihan raya mereka, bagi menghadapai Pilihan Raya Umum (PRU 14)
akan datang.
Katanya, ini bagi memastikan kerusi-kerusi yang dimenangi parti
pembangkang termasuk kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang kekal
dalam pentadbiran mereka.
"Memastikan bahawa antara sekarang sehingga PRU 14, kedua-dua negeri
Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor benar-benar menjadi
negeri-negeri yang melambangkan reformasi itu maknanya mana-mana
kelemahan yang ada kita harus baiki dan kita mesti bantu menjayakannya.
"Supaya ia juga bukan hanya terurus dengan cemerlang malah kalau boleh
orang kata betul-betul cemerlang berbanding negeri-negeri Barisan
Nasional (BN)," katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada PH akan menggunakan satu logo
atau sebaliknya pada PRU14 nanti, kata Saifuddin perkara itu pernah
dibincangkan dan perbincangan akan diteruskan dalam masa terdekat.
"Soal lambang atau logo Pakatan Harapan yang menyatukan ketiga-tiga
parti yang digunakan dalam PRU yang akan datang itu pernah dibincangkan
belum ada keputusan tetapi saya kira ini akan terus dibicarakan dalam
masa yang terdekat.
"Ada meritnya sebab semasa Pakatan Rakyat ia juga pernah diutarakan
tetapi tidak menjadi pada masa itu. Mana tahu kali ini menjadi tapi saya
tidak boleh sebutkan apakah status sebenarnya melainkan menyatakan
bahawa ia perkara itu masih dibincangkan," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan