MALAYSIAKINI
Peguam Shahredzan Johan hari ini mempersoalkan tindakan polis
menangkap seorang penulis berusia 76 tahun yang didakwa menghina perdana
menteri melalui perbualan dalam kumpulan WhatsApp.
Beliau berkata tidak mungkin Datuk Seri Najib Razak dihina kerana
perdana menteri itu bukan sebahagian daripada ahli kumpulan sembang
WhatsApp berkenaan.
"Mesti ada pertalian antara menghina dan orang yang menjadi subjek
penghinaan. Bagaimana pertalian boleh wujud jika PM tidak berada dalam
kumpulan itu?" katanya dalam laman sosial hari ini.
"Jika saya dalam kumpulan WhatsApp dengan @pedoqpop (Pengguna
Twitter) dan saya menghantar sesuatu yang menghina mengenai beliau.
Kemudian ya, pasti dia boleh laporkan saya di bawah Seksyen 233,"
katanya sebagai contoh.
"Hati pemimpin kita ini mesti dibuat daripada kertas tisu," kata Shahredzan dalam tweetnya.
Polis sedang menyiasat penulis itu di bawah Seksyen 233 Akta
Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau
hukuman penjara setahun maksimum atau kedua-duanya jika sabit
kesalahan.
Seksyen 233 berhubung penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi
untuk perkara lucah, sumbang, komen palsu, mengancam atau jelik dengan
niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang
lain.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen turut
menyelar pihak berkuasa kerana menyalahgunakan akta untuk melindungi
perasaan seorang pemimpin.
"Kemudian gelar dirinya seorang demokrat. Cuba tengok," katanya tanpa menamakan pemimpin itu.
Najib menyifatkan dirinya sebagai seorang demokrat berikutan referendum United Kingdom untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU).
Dalam tulisan di Twitter, Najib berkata: "Pengundi di UK telah
bersuara. Sebagai demokrat, kita harus menghormati keputusan tersebut.
Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan kami di Britain
dalam menempuh masa depan baharu yang mereka pilih".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan