Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: PKR mengakui keegoan dan perbezaan pendapat adalah merupakan
kelemahan terbesar pembangkang dalam mengukuhkan kembali hubungan
antara mereka.
Sehubungan dengan itu, Ketua Penerangan PKR Selangor Suhaimi Shafie
menegaskan pembangkang perlu segera membuang ego masing-masing sebelum
Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) untuk terus mentadbir Selangor, Kelantan
dan Pulau Pinang.
"Kita (pembangkang) dihimpit dari kiri dan kanan oleh perbezaan
pendapat dan pada saya ia hanya boleh dicapai secara baik dan berkesan
sekiranya kita menolak keegoan politik masing-masing.
"Kita kena akui bahawa ada ego dikalangan parti politik yang bertegas
dengan perjuangan mereka tetapi untuk memastikan rakyat boleh menerima
idea penggabungan itu, saya syorkan supaya kita boleh tolak ketepi
perasaan kepartian yang keterlaluan," katanya kepada Antarapos.
Katanya pembangkang perlu mengambil ikthibar daripada keputusan
Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai
Besar dan Kuala Kangsar sebagai titik permulaaan ke arah penggabungan
yang boleh menguntungkan.
Jelasnya lagi, percakaran antara pembangkang khususnya PAS, DAP dan
Amanah hanya merugikan gabungan pembangkang dan menyukarkan idea kepada
penggabungan parti-parti pembangkang.
"Hentikan pandangan yang boleh menyentuh sentiviti dalam parti
pembangkang yang lain. Elakkan daripada mengeluarkan idea yang
menyulitkan keadaan dan kontroversi yang tidak perlu.
"Perlu elakkan itu dan saya fikir sekiranya bermatlamat untuk
menumbangkan BN, kita kena mampu untuk laksanakan sesuatu perubahan
melalui apa yang telah diusahakan pada hari ini," cadang beliau.
Lebih-lebih lagi katanya, dalam perkembangan baru politik terhadap
parti baru yang akan ditubuhkan bekas perdana menteri Tun Mahathir
Mohamad.
Mahathir pada Khamis lalu mengumumkan satu parti baru akan ditubuhkan bersama pakatan pembangkang untuk menentang Umno-BN.
Justeru, Suhaimi yang juga ADUN Sri Muda berkata pembangkang harus mengambil kesempatan untuk segera mengadakan perbincangan.
"Jika semua pihak sudah menyatakan buah fikiran mereka, mengapa tidak
mencuba untuk mengadakan pertemuan meja bulat untuk kita bincang secara
serius dan sekiranya boleh dilaksanakan ia akan memberikan satu harapan
baru kepada rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan