Oleh Zeannaima Md Yusof
SHAH ALAM: PAS boleh kembali bekerjasama dengan pakatan pembangkang
yang lain tetapi dengan satu syarat, kata Timbalan Presiden Ikatan
Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya.
Syaratnya adalah PAS harus pastikan partinya kali ini menjadi lebih dominan berbanding DAP, PKR serta Amanah.
Ujarnya, jika PAS sekadar berpuas hati 'duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi' dengan komponen pembangkang yang lain, parti itu akan
sekali lagi diperkotak katikkan, sama seperti apa yang dilaluinya
sebelum ini.
"PAS boleh kembali pada Pakatan Harapan tetapi kali ini PAS kena
pastikan dia dominan. Islam sendiri tak benarkan tahaluf siyasi. Dimana
berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Itu tdak mungkin.
"PAS harus letakkan posisi dia lebih daripada orang (parti) lain supaya
dia boleh jalankan dasar yang perlu demi Islam, demi rakyat
keseluruhannya. Kalau duduk sama rendah berdiri sama tinggi nanti, jadi
masalah. Terutama berdepan dengan DAP.
"Akhirnya PAS hanya akan dimain-mainkan seperti yang berlaku dan (PAS)
tidak akan ke mana pun. Mungkin (PAS) akan menang undi banyak tapi dari
segi moral, prinsip...PAS akan gadaikan prinsipnya," kata Aminuddin.
Bagaimanapun penganalisis politik, Edwin Micheal melihat syarat oleh ISMA itu agak mustahil untuk direalisasikan.
"Politik pembangkang ini dikawal oleh DAP, bukannya oleh PAS. Sekalipun
mereka bergabung tidak mungkin PAS boleh jadi suara dominan kerana
lambat laun PAS harus pergi kepada DAP, ini cara DAP yang tak akan
tunduk kepada parti lain.
"Kita perlu lihat dalam banyak isu DAP lebih dominan, bukannya PAS. Ini
dapat dilihat sewaktu PR (PAS) menang Perak, ketika itu DAP meletak
Nizar sebagai MB dan dia digelar MB boneka dan arahan datang daripada
DAP.
"Itu menunjukkan DAP lebih dominan, perkara yang sama berlaku di
Selangor ketika krisis MB, keputusan nak meletakkan siapa sebagai MB pun
suara dominan itu dipegang DAP," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Selepas kekalahan teruk pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN)
Sarawak, PAS dipelawa pimpinan PKR untuk menjalinkan kerjasama dengan
Pakatan Harapan, namun tidak bersambut.
Bekas Exco PAS Selangor, Sallehen Mukhyi turut menggesa agar Pakatan
Rakyat diwujudkan kembali untuk memastikan Selangor tidak jatuh ke
tangan Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Terbaru, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
mencadangkan agar diadakan gencatan senjata antara parti pembangkang dan
fokus kepada menumbangkan Umno BN pada PRU14.
Cadangan Tuan Ibrahim itu setakat ini disambut baik pemimpin pembangkang, termasuk DAP.
Namun Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham berkata beliau
berharap cadangan Tuan Ibrahim itu adalah suara rasmi PAS dan bukannya
pandangan peribadi semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan