HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Julai 2016

IGP beri media ingatan tak beri ruang kepada IS

MALAYSIAKINI


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan organisasi media supaya tidak menyediakan ruang dan platform kepada kumpulan pengganas Negara Islam (IS) dan penyokong mereka.

Beliau berkata, individu-individu ini dahagakan perhatian media.

"Media tidak sepatutnya membenarkan penjenayah ini mengagung-agungkan tindakan mereka, kerana ia boleh mempengaruhi orang lain.

"Ini adalah isu keselamatan yang sensitif, dan media perlu berhati-hati. Saya tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka yang menjejaskan keselamatan negara," katanya kepada Malaysiakini.

Khalid mengulas wawancara yang diterbitkan oleh akhbar News Straits Times dan Oriental Daily News dengan IS Malaysia yang memberi amaran berhubung serangan kedua.

Kedua-dua akhbar itu memetik Muhammad Wandy Mohamed Jedi, yang dikatakan bertanggungjawab mengarahkan serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong.

Sementara itu, Khalid berkata pengamal media perlu melaksanakan tanggungjawab apabila berurusan dengan isu keselamatan dan tidak menimbulkan panik di kalangan rakyat.

"Mereka (pengganas) ini suka dengan perhatian media. Mereka mahu pengiktirafan. Beri mereka ruang, mereka akan lebih bersemangat lagi," katanya.

"Kita telah berurusan dengan ancaman keselamatan untuk sekian lama dan kita tahu bagaimana untuk mengelakkan keadaan daripada memburukkannya lagi," katanya.

Menurut Khalid, polis, terutamanya pasukan memerangi keganasan sedang memanatau dan melakukan pengawasan sepanjang masa untuk mengesan unsur-unsur keganasan tersebut.

Beliau berikrar bahawa lebih banyak tangkapan sedang dalam perancangan.

Dalam perkembangan yang sama, Khalid turut menasihatkan semua pihak termasuk ahli-ahli politik, tokoh agama dan NGO supaya tidak terbabit dengan ucapan atau kenyataan yang menapi-apikan sentimen bangsa dan agama.

"Memerangi keganasan adalah usaha kolektif dan semua orang perlu memainkan peranan masing-masing," katanya.

Tiada ulasan: