HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Julai 2016

Islam atau tidak, Orang Asli seronok buat lemang raya



ARIF IKHWAN (kiri) bersama Halimi membakar 200 batang lemang di Kuala Pangsun, Hulu Langat petang tadi.
ARIF IKHWAN (kiri) bersama Halimi membakar 200 batang lemang di Kuala Pangsun, Hulu Langat petang tadi.


Walaupun jumlah penduduk Islamnya hanya 20 peratus daripada keseluruhan penduduk Orang Asli Kuala Pangsun di Hulu Langat namun semangat menyambut Aidilfitri tetap dirasakan oleh semua penduduk termasuk bukan Islam yang sama-sama membakar lemang petang semalam.

Arif Ikhwan Lee dan Halimi Hassan antara yang ditugaskan membakar 200 batang lemang sejak pukul 12 tengahari cukup teruja apabila penduduk kampung berkumpul bersama kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Hulu Langat dan penggerak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyiapkan lemang dan rendang.


KAUM ibu bukan Islam di kalangan Orang Asli turut membantu menyediakan persiapan membuat lemang.

“Sepatutnya ramai kaum lelaki yang datang membantu membakar lemang hari ini tetapi ramai yang masuk ke hutan mencari buluh untuk dijual berikutan tempahan yang cukup banyak daripada peniaga. Inilah peluang untuk kami Orang Asli mencari duit raya kerana permintaan buluh lemang boleh mencapai RM5,000 ke atas pada musim raya begini.

“Tapi itu rezeki masing-masinglah. Bagi kami yang kelapangan, masa untuk berkumpul begini untuk menyiapkan lemang raya adalah satu keseronokan,” kata mualaf berusia 27 tahun, Arif Ikhwan.

Katanya, semangat Orang Asli dalam melakukan kerja berkumpulan cukup tinggi walaupun ramai yang bukan beragama Islam.


SALING membantu...

“Agama hak masing-masing dan tidak boleh dijadikan sempadan untuk memisahkan hubungan baik di antara kami yang telah terjalin sejak dulu lagi. Kami saling menghormati kepercayaan masing-masing malah mereka yang bukan Islam juga seronok dapat bersama-sama membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” ujarnya. Bagi Halimi yang bukan beragama Islam, hubungan dalam kalangan Orang Asli adalah seperti sebuah keluarga.


ISLAM atau tidak, Orang Asli sedia membantu untuk meraikan suku kaum mereka.

“Kalau ada kenduri kendara atau majlis besar seperti Hari Raya, sudah pasti kami akan sama-sama terlibat membantu. Apa yang boleh dibantu, kami bantu kerana yang penting, kami sama-sama dapat menggembirakan keluarga kami.

“Apabila makanan yang disediakan telah siap dimasak, semua penduduk kampung akan datang untuk makan ramai-ramai,” katanya.

Program membakar lemang di perkampungan Orang Asli Kuala Pangsun itu ditaja sepenuhnya oleh Jakoa dengan kerjasama penggerak Jakim. Sebagai menghormati keluarga beragama Islam, penduduk Orang Asli yang bukan beragama Islam hanya datang selepas waktu berbuka untuk menikmati hidangan yang disediakan.


PENDUDUK Orang Asli Kuala Pangsun menikmati hidangan yang disediakan selepas berbuka puasa petang tadi.

“Sebenarnya kami mengalu-alukan mereka yang bukan beragama Islam datang berbuka puasa bersama tetapi mereka sendiri yang tidak mahu. Alasan yang diberi, biarlah orang yang berpuasa makan dahulu kerana mereka lebih berhak,” kata penggerak Jakim yang dikenali sebagai Ustaz Mahyuddin.

Jelas Mahyuddin, sebagai penggerak agama, dia tidak pernah membezakan Orang Asli Islam dan bukan Islam. “Kami melayan mereka sama sahaja cuma yang beragama Islam akan diberi pengajian agama dan dibimbing sebaik mungkin supaya mengamalkan hidup mengikut ajaran Islam.

“Mereka yang bukan Islam tidak disisihkan malah akan sama-sama dijemput untuk meraikan apa juga program yang kami anjurkan,” ujarnya.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: