HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Julai 2016

Isu LPT2: Pas cadang tukar kerajaan

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim


SHAH ALAM – Pas percaya terdapat jalan lain yang boleh diambil kerajaan daripada terus melaksanakan kadar kutipan tol terhadap pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) menjelang esok.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan harus mempertimbangkan semula pelaksanaan tersebut kerana ia dikatakan membebankan rakyat, sama seperti pelaksanaan kutipan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Sejurus pengumuman bahawa tol akan dikuatkuasa di LPT2 dibuat, ramai yang mengeluh, di kedai kopi, di sosial media dan mengeluarkan kenyataan mencemuh tindakan kerajaan dengan pelbagai alasan.

"Ekonomi kapitalis yang dipaksakan ke atas negara demi menjaga kepentingan golongan pemodal telah melahirkan jurang yang besar antara golongan kaya dan miskin. Akibatnya, harta hanya berlegar di kalangan golongan kaya dan berkuasa sehingga golongan ini dapat menjual beli kuasa hari ini sehingga memincangkan sistem demokrasi yang ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas Terengganu kesal LPT2 dilaksana tol]

Tuan Ibrahim dalam kenyataannya turut mencadangkan rakyat supaya mengundi untuk menukar kerajaan sekiranya ingin bebas daripada kemelut berterusan ini.

“Sebagaimana isu tol, jikalau kita ingin melihat adanya satu hari rakyat bebas daripada kisah duka membayar tol, maka haruslah kita melakukan perkara yang menjurus ke arah itu, dan bukan sebaliknya.

“Antara arahnya ialah menukar sistem kerajaan yang sedia ada. Jika tidak, maka bolehlah kita terus sekadar mengeluh melihat rakyat menderita membayar tol dari generasi ke generasi. Bagi Pas, dasar Islam adalah jalan keluar kepada kemelut yang ada,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, pelaksanaan kadar kutipan tol tidak akan terhenti jika hanya pemimpin ditukar semata-mata.

“Ia belum lagi boleh menjamin kemungkaran tidak berlaku. Umpamanya, di banyak negara, ukuran jenayah hanya dilihat kepada indeks jenayah yang dilaporkan. Ukuran ini tentunya tidak menepati kehendak syarak, tiada kes rogol bukan bermakna tiadanya kes zina, bila mana lesen rumah pelacuran dibenarkan berleluasa.

“Itulah tujuan utama Pas menuntut perubahan sistem kepada sistem Islam yang berlandaskan syariat dan juga menjunjung nilai keadilan pada tempatnya,” tegasnya.



Tiada ulasan: