MALAYSIAKINI
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan latihan beberapa
pemain pasukan itu dengan skuad kebangsaan tidak memberi manfaat
selepas berbulan-bulan masa dihabiskan di kem latihan.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata, selepas kecewa terhadap
organisasi skuad kebangsaan iaitu FAM dan Football Limited Liability
Partnership (FMLLP), beberapa pemain menemui beliau dan menyatakan
hasrat bersara.
"Mereka tidak mahu mengumumkannya melalui media dan akaun media
sosial sendiri kerana terdapat ramai peminat bola sepak yang tidak
bertanggungjawab sentiasa akan menyalahkan tindakan mereka. Saya
bersetuju dan mengarahkan pegawai di kelab kami untuk mengendalikannya,"
katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi JDT.
Terdahulu, empat pemain JDT iaitu Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul
Radzak, Amirul Hadi Zainal dan S Kunalan mengumumkan persaraan mereka
dari skuad bola sepak negara.
Perkara itu turut dipandang serius oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang
mengandaikan isu tersebut mungkin berkait dengan kenyataan Tunku Ismail
berhubung kecederaan pemain JDT selepas menyertai kem latihan dan
perlawanan bersama skuad kebangsaan, baru-baru ini.
Tunku Ismali turut meminta peminat bola sepak di seluruh negara dan penyokong setia FAM memahami keputusan tersebut.
"Pemain ini sayangkan negara, mewakili negara adalah penghormatan terbesar yang pernah mereka lalui dalam kerjaya.
"Mereka bukan melakukannya kerana tidak suka kepada Malaysia, mereka
melakukan kerana mereka adalah manusia seperti anda dan saya.
"Mereka melakukan ini kerana sudah letih dengan panggilan yang tidak
sepatutnya di mana mereka perlu menghabiskan masa berbulan-bulan di kem
latihan dengan latihan tidak mencukupi dan tidak memberi manfaat kepada
pasukan kebangsaan," jelasnya.
Diabaikan FAM
Tambah beliau, pemain tersebut terpaksa bermain untuk sebuah
organisasi yang tidak pernah mengambil tahu kebajikan pemain, termasuk
isu pembayaran gaji.
"Mereka terpaksa bermain untuk seorang pemimpin yang tidak pernah
menghadiri sebarang latihan atau pun mesyuarat. Mereka terpaksa bermain
untuk seorang pemimpin yang tidak mengetahui nama mereka dan kewujudan
mereka.
"Mereka terpaksa juga bermain untuk sebuah organisasi yang tidak
ambil kisah apabila mereka mengalami kecederaan," katanya sambil
menambah beliau berdiri bersama pemain berkenaan.
Sementara itu Tunku Ismail berkata, mereka telah mencuba pelbagai
cara profesional seperti merujuk kepada Persatuan Pemain Bola Sepak
Profesional Malaysia (PFAM) dan menyuarakan masalah kepada jurulatih dan
pegawai FAM.
"Tetapi seperti biasa, FAM lakukan apa yang biasa mereka lakukan
iaitu mengabaikan mereka. Sama seperti bagaimana mereka mengabaikan
kelab dan penyokong bola sepak di seluruh negara selama 30 tahun.
"Oleh itu nasihat saya kepada anda adalah, anda perlu berdiri bersama
pemain dan kelab. Minta perubahan dalam FAM, sama ada mereka suka atau
tidak satu hari nanti mereka perlu berubah," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan