MALAYSIA GAZETTE
Jabatan Penjara Malaysia menjelaskan beberapa kriteria yang ditetapkan bagi membenarkan banduan berjumpa secara bersentuhan dengan keluarga masing-masing.
Ia boleh dilakukan melalui permohonan yang dibuat oleh banduan atau keluarga kepada Pengarah Penjara.
Setelah Pengarah Penjara mempertimbangkan permohonan dan mendapati ia adalah munasabah dan perlu sahaja, perjumpaann boleh dipertimbangkan jika diluluskan.
Kelulusan yang diberikan untuk permohonan yang dibuat bukan secara berterusan.
Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, banduan terpilih yang melepasi syarat-syarat pemulihan, disiplin, tempoh hukuman yang telah dijalani dan lain-lain syarat boleh dibenarkan berjumpa secara bersentuhan dengan keluarga semasa program-program jalinan kasih anjuran Jabatan Penjara seperti Hari Bapa, Hari Ibu dan Hari Raya.
"Perjumpaan secara bersentuhan ini juga untuk majlis berkenaan sahaja dan tidak semasa perjumpaan biasa dan tidak secara berterusan bertujuan memupuk dan membina pemulihan diri banduan secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan bagi menjelaskan perjumpaan secara sentuhan fizikal antara banduan dan keluarga.
Manakala banduan atau orang yang diselia terpilih dari segi kemajuan pemulihan, tempoh hukuman dan lain-lain bagi mengikuti Program Pemulihan Pemasyarakatan di kem tentera dibenarkan berjumpa secara bersentuhan dengan keluarga pada setiap perjumpaan.
Tegas beliau, prosedur yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara adalah dengan mengambil kira semua aspek termasuk fungsi jabatan iaitu keselamatan dan pemulihan berlandaskan Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Katanya, prosedur dan langkah sama turut dilaksanakan oleh penjara lain di luar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan