Seorang warga emas dilaporkan diserang oleh sekumpulan lelaki berikutan kemalangan kecil di sebuah bazar Ramadan di Bazar Jalan Masjid, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Menurut laporan Harian Metro semalam, pada kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa yang berusia 76 tahun terlanggar sebuah motosikal yang berhenti mengejut.
"Tindakan itu menyebabkan warga emas terbabit tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang motosikal lelaki berkenaan.
"Ketika mahu melihat keadaan keretanya, dia diserang 10 lelaki yang bertindak memukulnya dan merosakkan keretanya sebelum melarikan diri," menurut akhbar itu yang memetik kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa.
Beliau berkata, polis sedang memburu 10 lelaki yang didakwa terlibat dalam serangan itu.
Rusdi juga dilaporkan berkata, setakat ini, hanya satu saksi telah tampil memberi keterangan berhubung kejadian itu.
Walau bagaimanapun, akhbar theSun melaporkan bahawa polis cuba untuk memastikan jumlah sebenar penyerang dan identiti mereka melalui rakaman video kejadian yang tersebar luas itu.
Video itu memaparkan keadaan yang huru-hara sekitar sebuah kereta yang cermin depannya hancur, serta tindakan seorang lelaki tanpa baju yang melompat ke atas kenderaan itu dan beberapa yang lain cuba merempuh kereta tersebut.
Video selama lebih lima minit itu juga merakamkan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang tiba untuk meredakan keadaan serta membuka laluan bagi kereta yang rosak teruk itu meninggalkan kawasan tersebut.
Harian Metro memetik Rusdi sebagai berkata polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan