MALAYSIAKINI
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini mencabar Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Abdul Razak mengklasifikasikan semula laporan Ketua
Audit Negara mengenai 1MDB untuk melumpuhkan laman pendedah maklumat, Sarawak Report.
"Najib perlu segera mengklasifikasikan semula laporan audit negara mengenai 1MDB bukan sahaja untuk melumpuhkan Sarawak Report,
tetapi untuk membuktikan kepada dunia bahawa perdana menteri dan
kerajaan Malaysia tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan
mengenai dakwaan penyelewengan bernilai berbilion-bilion 1MDB,
pengubahan wang haram dan rasuah, "kata Lim.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, dengan merahsiakan
laporan audit 1MDB mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA), Najib hanya
mengundang "cemuhan dan penghinaan antarabangsa” kerana Sarawak Report membocorkan dokumen berkenaan.
Lim secara sinis berkata, satu-satunya sebab laporan itu perlu
dirahsiakan adalah ia akan mengaitkan mereka yang bertanggungjawab
terhadap skandal itu dengan Najib dan 1MDB.
"Adakah ini sebabnya?" soal ahli parlimen Gelang Patah itu.
Sarawak Report mendakwa laporan itu adalah buruk bagi Najib
dan firma pelaburan negara itu kerana mengandung "kritikan pedas"
daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.
Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan sama ada dokumen yang diterbitkan oleh Sarawak Report adalah sahih, dan tidak boleh melaporkan kandungannya kerana kekangan undang-undang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan