Bernama
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku
Jaafar hari ini meredakan sedikit kebimbangan mengenai jerebu merentas
sempadan teruk yang akan berlaku tahun ini.
Beliau berkata Indonesia, tempat asal jerebu akibat pembakaran hutan berikutan penerokaan tanah, nampaknya memainkan peranan menghormati komitmennya untuk mengawasi fenomena tahunan ini.
Setakat ini, hanya terdapat beberapa titik panas di Sumatera dan dua
di Kalimantan, katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka
Aidilfitri beliau di Kuching.
Wan Junaidi berkata, undang-undang Indonesia membenarkan 40 peratus
pekebun kecil menuai kelapa sawit dan pokok-pokok untuk pulpa dan kertas
menjalankan pembakaran terbuka di tanah ladang mereka kira-kira dua
hektar setiap seorang.
Bagaimanapun, beliau percaya jerebu tidak akan menjadi begitu serius
tahun ini memandangkan Indonesia menghadapi banyak tekanan daripada
Malaysia dan Singapura yang teruk menghadapi fenomena ini.
"Apa pun, Indonesia masih bertanggungjawab kepada negara-negara jiran
berdasarkan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan
2002," katanya.
Wan Junaidi juga berkata bahawa pemanasan global menyebabkan keadaan cuaca tidak dapat diramalkan.
"Ia adalah perkara biasa, semasa musim panas sekarang, apabila hujan,
sudah pasti berlaku ribut petir dengan angin yang sangat kuat. Kita
akan melihat lebih banyak keadaan seperti ini," katanya.
Beliau menasihatkan semua pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri
untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi
kawasan-kawasan rendah dan memastikan saliran yang lebih baik untuk
mengelak banjir kilat daripada berlaku berulang kali.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan