Shakira Buang
Pengerusi badan perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar meminta
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu supaya berhenti daripada terus mendakwa
Malaysia kini diperintah oleh "mafia" ekoran ketua menteri Pulau Pinang,
Lim Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.
Noh yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, berkata ini
kerana Lim bukanlah pemimpin pertama yang didakwa di mahkamah.
"Mat Sabu jangan menipu rakyat. Saya nak tanya dalam sejarah kita, (adakah) Lim Guan Eng ketua menteri yang pertama didakwa?
"Kenapa masa (bekas MB Selangor) Dr Mohamad Khir Toyo (didakwa) dia (Mat Sabu) tak cakap benda sama dan DAP tak bangun menentang?" soal Noh lagi dalam satu temubual dengan Malaysiakini semalam.
Mohamad Khir dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada September tahun
lalu selepas disabitkan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk
mendapatkan dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5
juta untuk dirinya dan isterinya.
Pada bulan Mac, Mohamad Khir menjalani perintah parol selepas
menjalani enam bulan hukumam penjara sebelum dia dibebaskan dua bulan
kemudiannya.
Noh mengulas dakwaan Mohamad Sabu bahawa tindakan pihak berkuasa
mendakwa ketua menteri Pulau Pinang atas dua pertuduhan penyalahgunaan
kuasa menunjukkan Malaysia kini diperintah “mafia”.
Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dalam satu
kenyataan berkata, pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) terhadap Lim kelmarin juga adalah siaran ulangan.
Mengulas lanjut, Noh yang juga anggota Parlimen Tanjong Karang
berkata, kelantangan Mat Sabu ini lahir kerana merasakan pakatan
pembangkang itu 'kebal dan suci seperti malaikat' hingga tidak boleh
berdepan tindakan undang-undang.
"Saya ingat pembangkang ini rasa mereka lebih hebat (hingga dapat mengatasi) undang-undang, macam malaikat yang tidak boleh disentuh langsung, seolah-olah mereka suci.
"(Bagi mereka kalau) nak tangkap, tangkap BN sebab BN (didakwa)
rasuah. Tangkap pemimpin kami (BN), ini politik (BN), ini perancangan
(BN), (BN) ini mafia," tegas Noh.
Lim yang juga setiausaha agung DAP didakwa atas dua tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, kelmarin.
Semalam, Lim yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas
kedua-dua tuduhan itu, dibenarkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang
penjamin.
Mahkamah tidak memerintahkan Lim menyerahkan pasportnya tetapi beliau perlu memaklumkan kepada mahkamah dan Jabatan Peguam Negara, dua hari sebelum ke luar negara.
Mahkamah Tinggi menetapkan 22 September depan untuk pengurusan kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan