GUA MUSANG - Tujuh sekeluarga maut manakala lapan cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 11, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Renok di sini, jam 1.30, awal pagi tadi.
Kejadian yang melibatkan sebuah Perodua Myvi, sebuah Perodua Alza dan sebuah lori 5 tan jenis Hino itu meragut nyawa dua keluarga yang berada di dalam sebuah kenderaan jenis Myvi tersebut.
Tujuh maut adalah Mohd Amin, 29, beralamat di Kampung Jeram, Pasir Puteh, isterinya, Mursyida Mohd Latfi, 29, dari Kampung Kubang Badak dan anaknya, Nor Jannati Mohd Amin, lima bulan manakala seorang lagi anaknya, Mohd Akil Aliuddin, cedera parah.
Empat mangsa lagi adalah kembar Mursyida, Munirah Mohd Latfi, 29, suami, Nor Zami Mohamad, 41 dari Kampung Lati, Pasir Mas dan dua anaknya, Raudatul Fyazwina, 4, dan Mohd Rifqi, tiga bulan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail mengesahkan kejadian terbabit dan memberitahu, ia dipercayai berpunca daripada lori jenis Hino yang datang dari arah Kuala Krai, memasuki laluan bertentangan lalu merempuh kenderaan yang dinaiki mangsa dari arah Gua Musang.
"Kemungkinan besar, pemandu lori berkenaan mengantuk dan merempuh kenderaan terbabit.
"Empat mangsa meninggal di tempat kejadian manakala tiga lagi di Hospital Gua Musang (HGM) selepas satu jam kemalangan akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan," katanya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan