MALAYSIAKINI
Pemberian
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pada pandangan 35 ahli ekonomi United
Kingdom (UK), adalah kaedah terbaik membantu perkembangan ekonomi
tempatan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana menteri berkata melalui pemberian itu, rakyat akan
membelanjakan wang tersebut untuk membeli barangan keperluan dan secara
tidak langsung membantu memajukan ekonomi negara.
"Tolong orang apa salahnya. Tolong orang miskin pun dia kata salah
bagi makan dedak pulak, saya bagi BR1M kata makan dedak... 35 para ahli
ekonomi di UK kata BR1M adalah kaedah yang terbaik, bukan saya sebut.
"...35 para ekonomi di UK kata BR1M itu terbaik kerana bila kita bagi
BR1M, orang dapat duit dan pergi kedai beli barang, pergi pasar tani
beli ikan, sayur, kedai beli kasut, baju. Ekonomi tempatan berkembang
kerana ada suntikan ekonomi," katanya ketika berucap merasmikan
Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tangga Batu di Melaka, hari ini.
Beliau berkata segala usaha yang dilakukan kerajaan telah banyak
membantu rakyat dalam semua aspek kehidupan termasuk mewujudkan pelbagai
peluang pekerjaan dalam setiap projek atau pembangunan yang
dilaksanakan.
Katanya sebagai contoh, projek pengangkutan yang dibangunkan kerajaan
seperti tren sistem transit aliran ringan (LRT) dan Perkhidmatan Mass
Rapid Transit (MRT) membuka peluang pekerjaan kepada siswazah
kejuruteraan.
Najib berkata projek tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan
masalah sistem pengangkutan di negara ini tetapi ia menguntungkan banyak
pihak terutamanya rakyat dan negara.
Beliau berkata pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR)
Kuala Lumpur-Singapura yang akan melibatkan laluan di Ayer Keroh Melaka
akan turut menjadi pemangkin kemajuan ekonomi negara dan negeri Melaka.
Sementara itu, Najib berkata pada pilihan raya umum akan datang, Umno
dan Barisan Nasional (BN) Melaka perlu berusaha lebih gigih bagi
memastikan kemenangan yang lebih besar untuk parti itu di negeri ini.
"Kita nak tambah satu lagi parlimen, (parlimen) Kota Melaka itu bonus
tetapi (parlimen) Bukit Katil wajib kita menang balik. DUN (Dewan
Undangan Negeri) menang 27 daripada 31. Saya akan bantu supaya berjaya,"
katanya.
Pada masa ini di Melaka, BN memegang empat daripada enam kerusi
parlimen manakala kerusi DUN, 21 daripada 28 kerusi. Dilaporkan sebelum
ini persempadanan semula di negeri ini dijangka akan menambah tiga DUN
baharu menjadikan keseluruhan kepada 31 kerusi.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan