HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Ogos 2016

Al-Quran bukan hanya untuk dihafal

Al-Quran bukan hanya untuk dihafal
Hussamuddin (kanan) berkongsi idea mengenai World#Quranhour pada 9 Zulhijah ini.
 


KOTA BHARU – Menggunakan medium yang tepat iaitu al-Quran, World#Quranhour diharapkan menjadi satu ajakan baharu bagi mendekatkan umat Islam dengan jalan yang sebenar dalam kehidupan.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata,
World#Quranhour juga perlu dijadikan titik permulaan untuk ummah kembali berinteraksi, memahami dengan jelas apa yang terkandung dalam kalam ALLAH itu.

“Ramai yang tanya saya, kenapa saya adakan World#Quranhour. Jawapan saya hanya satu, kita mahu umat Islam seluruh negara kembali kepada al-Quran, baca, faham dan hayati supaya kita kembali kepada akhlak yang sebenarnya.

“Ramai yang pandai, boleh baca Quran, tetapi mereka tidak memahami apa yang tersurat. Sedangkan Quran itu perlu dibaca dan difahami supaya akhlak itu masuk dalam jiwa kita, sekali gus menghasilkan masyarakat yang baik,” katanya.

Beliau menyampaikan ucaptama pada Majlis Perjumpaan pemilik Rumah Ngaji di pejabat Sinar Harian yang turut dihadiri lebih 70 pemilik Rumah Ngaji di negeri ini.

Menurutnya, umat Islam seharusnya memiliki ilmu pengetahuan yang luas, bukan hanya akademik semata-mata dan wujudnya masyarakat tidak berilmu disebabkan mereka terlalu jauh dengan al-Quran.

Sebagai contoh katanya, ibu bapa yang mendekatkan diri dengan al-Quran dan mendidik anak-anak mereka dengan al-Quran, nescaya akan terhindar jauh daripada segala masalah sosial yang boleh menyesatkan mereka.

“Saya bagi perumpamaan, bagaikan rumah kosong tidak berpenghuni, lambat laun akan dihuni hantu.
"Sama juga dengan jiwa yang tidak diisi dengan ilmu yang baik, lambat laun akan kacau bilau dengan masalah-masalah yang tidak sepatutnya.

"Sebab itu kita mahu jadikan World#Quranhour ini sebagai permulaan kepada perubahan yang lebih baik untuk umat Islam seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, ahli Rumah Ngaji Sinar Harian Kelantan, Siti Nur Aini Lin Abdullah, 37, tahun turut berkongsi pendapatnya yang menyokong World#Quranhour dan menyifatkan ia satu permulaan yang baik kepada mereka yang mahu kembali mendekatkan diri dengan ALLAH.

“Kita mahukan aktiviti seperti ini dalam masyarakat supaya kita tidak tersasar jauh dan sentiasa mempunyai pedoman dalam setiap perkara yang kita lakukan dalam kehidupan harian. Insya-ALLAH saya yakin World#Quranhour mendapat sambutan di luar jangkaan nanti,” katanya.


Tiada ulasan: