Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Perihal
Parti Amanah Negara atau Amanah mahu menggantikan PAS dan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia atau Bersatu mahu mengambil alih tempat Umno dalam
politik Malaysia bukan satu rahsia lagi.
Ini kerana pemimpin-pemimpinnya yakin PAS di bawah pimpinan Datuk Seri
Haji Abdul Hadi Awang tidak mungkin dapat dijadikan contoh bagaimana
politik Islam boleh dihayati di Malaysia.
Sementara pemimpin-pemimpin parti Bersatu yang baru sahaja
mengemukakan pendaftarannya kepada Pendaftar Pertubuhan sudah dengan
lantang menyatakan matlamatnya ialah mengambil alih tempat Umno.
Alasan yang diberikan oleh bakal presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin
ialah sama dengan apa yang dikatakan oleh Amanah, bahawa Umno seperti
PAS, ‘sudah terkeluar dari landasan’ perjuangannya.
Masalahnya, kedua-dua parti berkenaan belum membuktikan kemampuan
memperbaiki nasib dan kebajikan umat Islam-Melayu tetapi sudah cekal
melebarkan mesej Umno dan PAS sudah tidak releven lagi.
Mereka masuk gelanggang politik kebangsaan dengan rekod politik yang
tidak begitu cemerlang. Amanah ialah parti serpihan PAS yang terdiri
daripada profesional yang kurang sabar menanti giliran diangkat menjadi
pemimpin.
Mereka resah kerana pucuk pimpinan PAS pada hemat mereka tidak mahu
bersikap terbuka dan lebih “liberal” dalam berpolitik. Walhal sejak 2008
lagi PAS telah membuka pintu toleransi seluas-luasnya.
Jika penilaian jujur dibuat, PAS dari tahun 2008 hingga 2015 boleh
dianggap bersikap ‘amat terbuka’. Namun ulama PAS tidak leka dengan
kemenangan dan pencapaian politik era tahaluf siyasi.
Bagi ulama sikap berhati-hati dalam memelihara akidah dan adab siasah
adalah lebih utama. Bertahaluf adalah baik untuk ummah. Bagaimanapun
bertahaluf harus jangan mengorbankan prinsip.
Dalam Islam setiap amalan ada sempadannya. Ini kerana banyak kali
peringatan diberikan oleh Allah Azza Wa jalla tentang soal mengangkat
bukan Islam sebagai pemimpin.
Namun pemimpin aliran profesional dan moden ini kurang sabar dan mahu
Haji Hadi segera merangkul gaya politik demokrasi moden dan sekular
ala-PKR dan DAP ini dan lantas cuba mengubah hiraki dalam parti.
Cabaran menyeluruh dilancarkan untuk memadam dan memendam suara ulama
dalam parti. Namun hakikat yang dipelajari golongan profesional ini puak
ialah ulama pun pintar serta cekap berpolitik.
Kedudukan ulama tidak tergugat malah sebaliknya barisan profesional
yang mencabar tersandar di sudut kekalahan. Ego mereka yang tewas
mendorong mereka menjerit mengatakan ulama berpolitik serong dalam
pemilihan PAS.
Protes mereka hanya topeng untuk menghalalkan langkah politik mereka
keluar parti dan menubuhkan Amanah. Justeru agenda politik yang
dilakarkan ialah Amanah ialah pengganti PAS.
Tidak sampai setahun kemudian denai politik yang sama dilakar dalam
Umno. Setelah gagal menjungkar-balikkan sistem kepimpinan dan barisan
peneraju Umno, golongan kecewa ini keluar Umno dan menubuhkan Bersatu.
Di segi perang saraf, Bersatu yang diteraju Tun Dr Mahathir Mohamad
bijak membina persepsi positif berhubung citra politik yang mahu
dibentuk. Berkat pengalaman dan ketrampilan Mahathir, Bersatu bermula
langkah kanan.
Ada media arus perdana yang turut berusaha melonjakkan cabaran Bersatu
dengan membuat kajian rawak untuk menyemarakkan nama Bersatu “kerana
tahu manusia mudah terpukau pada sesuatu yang baru”.
Namun cabaran Bersatu masih berliku. Pendaftarannya bukan automatik.
Pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Bersatu mungkin kesuntukan masa
memikat ahli dan menyeleraskan strategi dengan parti-parti pembangkang
lain.
Di peringkat awal kelahirannya, baik Amanah mahupun Bersatu memerlukan
kerjasama dan simpati daripada parti-parti pembangkang lain.
PAS, DAP dan PKR perlu bertolak ansur dan berlapang dada melepaskan
kerusi tertentu untuk diagihkan kepada tiga parti baru yang akan
berkerjasama dengan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
"Kalau PAS, DAP, PKR boleh beri laluan, jumlah 60-70 kerusi untuk diberi kepada parti baru seperti Amanah, IKATAN, BERSATU.
"Saya yakin dengan desakan rakyat yang mahu muafakat baru dalam pembangkang. Saya agak itu boleh dilakukan," ujar Mustafa.
Beliau berkata perkara itu bukan mustahil dilaksanakan kerana pernah
DAP dan PAS pada 1999 “memberi kerusi” kepada PKR, yang baru sahaja
ditubuhkan.
"Waktu PRU 1999, DAP ada tak kerusi? Ada. Begitu juga PAS. PKR 'new player' tapi kita boleh olah pada waktu itu,’ katanya.
Beliau menegaskan, belajar daripada tamparan yang dialami dalam PRN
Sarawak dan dua PRK, pemimpin pembangkang haruslah bersedia untuk
berbincang dan bertolak ansur.
Malangnya, buat ketika ini, pemimpin-pemimpin pembangkang masih
dilihat kurang bersedia untuk berkompromi. Mentaliti ‘memelihara
jajahan’ sendiri masih mencengkam pertimbangan.
Dengan ego politik DAP semakin menebal, pergeseran dalaman PKR semakin
ketara dan pendirian budaya politik matang dan sejahtera yang mahu
dirintis PAS, impian Amanah dan Bersatu itu tidaklah mudah dicapai
seperti diucapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan