HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Ogos 2016

Anjur majlis hari jadi pun satu kesalahan? – PKR

INTAN NUR IDAYU


FENG0250-01_fahmi_fadzil_20160107_620_413_100


KUALA LUMPUR: Lebih ramai lagi peserta yang akan dipanggil pihak polis bagi memberi keterangan kerana menyertai majlis sambutan hari jadi hari ke-69 Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan di luar penjara Sungai Buloh pada awal bulan lalu. 

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, bukan sahaja beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung yang dipanggil kerana terlibat dalam majlis hari jadi tersebut malah beliau menjangkakan lebih ramai lagi yang akan dipanggil. 

“Kami difahamkan bukan kami berdua saja akan dipanggil rakam percakapan tetapi akan ada lagi lebih ramai dan saya jangka mungkin dalam sepuluh atau 15 orang lagi akan dipanggil.

“Polis bertanya tentang beberapa perkara termasuk siapa penganjur, apakah peralatan audio yang digunakan dan lain-lain,” kata Fahmi dalam satu kenyataan. 

Difahamkan, beliau telah dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan kerana menjadi pengacara majlis manakala Lee pula dipanggil kerana menyanyi lagu pada majlis berkenaan.

Tegas Fahmi lagi, beliau hairan sama ada sambutan hari jadi kini menjadi satu kesalahan sehingga perlu disiasat oleh polis.

Sementara itu, menurut Lee pula, beliau mempersoalkan sama ada tindakannya mendendangkan lagu yang diterbitkan oleh kumpulan band Hong Kong ‘Beyond’ yang bertajuk ‘Zaman Gemilang’ adalah merupakan satu kesalahan undang-undang.

“Saya mempersembah sebuah lagu yang memberi penghormatan kepada pemimpin Afrika Selatan, Nelson Mandela, apa salahnya dengan lagu ini?

“Sebelum ini, kita lihat ada orang yang melukis kartun juga disiasat dan didakwa, ada orang bercakap didakwa, ada orang yang buang belon kuning pun didakwa juga.

“Sekarang menyanyi pun sudah jadi satu jenayah, mungkin satu hari nanti berfikir pun jadi satu kesalahan,” katanya. 

Menurut peguam mereka, Melissa Sasidaran pula, kedua-dua pemimpin PKR itu disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman tetapi pihak polis tidak memberitahu seksyen yang digunakan.

Pada 10 Ogos lalu, keluarga dan penyokong Anwar berkumpul di luar pintu penjara untuk meraikan hari jadi ketua umum PKR itu.

Ia juga sempena memperingati 548 hari Anwar dipenjarakan atas tuduhan liwat.


Tiada ulasan: