KUALA LUMPUR: Mahkamah di Putrajaya dan Melaka hari ini mereman seorang
bergelar “Datuk Seri” dan seorang lagi “Datuk”, kedua-dua mereka
pegawai tinggi kerajaan, bagi membantu siasatan rasuah.
Portal berita tersebut melaporkan “Datuk Seri” berkenaan merupakan
pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), direman 7 hari di
Putrajaya bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman membenarkan permohonan
SPRM menahan lelaki berusia 54 tahun itu selama 7 hari sehingga 22 Ogos.
Peguamnya, Azizzul Shariman Mat Yusoff berkata anak guamnya ditahan di
pejabatnya di bangunan DBKL pada 3.07 petang semalam, dan disiasat
mengikut Seksyen 17(a) dan 23, Akta SPRM 2009 bagi kesalahan rasuah dan
Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan
Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
“Rumahnya digeledah, sebuah kereta BMW dirampas, semua dokumen juga dirampas di pejabat dan di rumahnya,” katanya.
Di Melaka, seorang “Datuk” berusia 56 tahun direman 7 hari oleh
Mahkamah Majistret bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM
2009 kerana meminta rasuah.
Mereka merupakan antara tiga penjawat awam ditahan SPRM semalam atas
kesalahan rasuah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata mereka ditahan dalam
operasi serentak pada 12.00 tengah hari dan 2.00 petang semalam.
Akaun bank milik mereka melebihi RM13 juta turut dibekukan, di samping
menyita kondominium mewah seperti penthouse dan banglo, dan kenderaan
Maserati, BMW dan Audi.
SPRM turut merampas RM400,000 tunai termasuk mata wang asing dan beberapa jam tangan mewah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan