HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Ogos 2016

https://www.youtube.com/watch?v=ME8qr84poDw

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
BESUT: PAS sedar kesukaran untuk mereka mendapatkan sokongan bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 pada sidang Parlimen Oktober depan.
 
Bagaimanapun, ujar Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh, soal dapatkan sokongan ahli Parlimen itu adalah 'kedua terpenting' kerana PAS lebih menitik beratkan perihal tanggungjawab kepada Yang Esa sebagai keutamaan. 
 
"Kita di dalam PAS, masalah sokongan kita letakkan ia satu perkara penting tapi nombor dua. Yang pertama kita nak pastikan kita boleh bawa (RUU) supaya tanggungjawab dengan Allah SWT terlepas.
 
"Kita dah usaha dan ikhtiar. Sokongan kita sangat-sangat harap daripada semua pihak dan parti politik yang mewakili ahli parlimen ini, supaya mereka memberi sokongan kerana isu ini bukan isu PAS, bukan isu kerajaan Kelantan. 
 
"Tapi ia adalah isu tanggungjawab kita semua. Kita yakin insy-Allah ahli parlimen beragama Islam akan sokong," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos, baru-baru ini.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesukaran yang bakal dihadapi oleh PAS dalam meminda Akta 355, termasuk dari kalangan ahli parlimen beragama Islam daripada Umno, PKR dan Amanah.
 
Malah tambah Nik Zawawi, ahli-ahli Parlimen yang mengkritik kononnya RUU Persendirian bagi meminda Akta 355 sebagai tidak kemas, disarankan bersemuka bagi bersama-sama membetulkan 'kecacatan' undang-undang berkenaan.
 
"Kalau kata tidak kemas, marilah tolong perkemaskan apa kecacatan. Sebab RUU ini macam mana sekalipun ia tak kemas, yang kemas hanya satu saja iaitu Al-Quran. Enakmen ini kita sedut daripada Al Quran dan kita ayat sendiri mengikut situasi, mengikut keadaan.
 
"Jadi kalau ada orang kritik, bermakna dia tidak jujur dan tidak ikhlas dengan Allah SWT dan mereka ini jenis yang pandai bangkang saja. Bangkang ini memang mudah," ujar beliau.
 
Ketika ditanya perancangan PAS sekiranya langkah untuk meminda Akta 355 gagal mendapat sokongan di parlimen kelak, ujar Nik Zawawi, parti akan membincangkan semula berhubung pendekatan seterusnya dengan pihak-pihak yang berkenaan.
 
Namun ujar Nik Zawawi, beliau optimis ahli-ahli parlimen beragama Islam akan menyokong usaha PAS meminda Akta 355 atas kesedaran sebagai seorang Muslim. 
 
"Saya nampak Insya-Allah orang Islam akan sokong semua, kalau tak sokong, teruk lah dia. Sebab perkara ini perkara Allah, kalau tak sokong apa erti dia seorang beragama Islam, apa erti dia beriman kepada Al Quran kalau tak sokong," katanya.
 
Ketika ini, Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia sedang melancarkan kempen bagi mengumpul sejuta tanda tangan daripada rakyat Malaysia bagi menentang usaha PAS meminda Akta 355.
 
Presidennya, Tan Sri Khoo Chai Kaa berkata, kempen yang dilancarkan pada Jun lalu setakat ini telah mengumpul 400,000 tandatangan.
 
Tandatangan yang dikumpulkan itu ujarnya akan diserahkan kepada semua 222 Ahli Parlimen pada September depan.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan membentangkan usul untuk meminda Akta 355 pada persidangan Dewan Rakyat, Oktober ini, selepas memohon menangguhkan usul berkenaan Mei lalu.
 
 
 

Tiada ulasan: