MALAYSIAKINI
Pihak polis akan mempermudahkan rancangan perhimpunan BERSIH 5 jika
gabungan reformasi pilihan raya itu bertindak mengikut Akta Perhimpunan
Aman (PAA) 2011.
"Saya nasihatkan pihak penganjur BERSIH 5 untuk mematuhi semua
prosedur dan mengikut peraturan serta peraturan yang dinyatakan di bawah
PAA.
"PAA memperuntukkan perhimpunan aman dan polis akan mempermudahkannya.
"Jika mereka mengikut undang-undang, kita akan berikan bantuan," kata
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, memetik laporan oleh New Straits Times.
BERSIH hari ini secara rasmi mengumumkan akan mengadakan perhimpunan kali kelima dalam masa terdekat.
Menurut Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, himpunan kali ini bertujuan menuntut tindakan lanjut mengenai skandal 1MDB.
Katanya, untuk tidak mengadakan himpunan bukan lagi satu pilihan
berikutan tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang
memfailkan saman sivil bagi merampas aset berkaitan dana 1MDB yang
didakwa diselewengkan.
“Satu himpunan aman BERSIH 5 akan dianjurkan. Ini adalah lanjutan
untuk meminta tindakan yang sewajarnya dan untuk akauntabiliti skandal
1MDB.
“Masa dan tarikh aksi BERSIH 5 akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.
Menurut Maria, ketika ini, BERSIH akan fokus untuk membina satu
gerakan majmuk dengan penglibatan pelbagai pihak untuk menjayakan
himpunan itu.
Terdahulu, Khalid dilaporkan berkata, BERSIH tidak boleh mengadakan
perhimpunan kali kelima jika ia bertujuan menggulingkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak.
"Kami tidak akan membenarkannya kerana ada cara untuk meminta perdana
menteri meletak jawatan seperti yang dinyatakan dalam undang-undang,"
ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan