MALAYSIAKINI
Hubungan
jangka panjang antara Malaysia dan Amerika Syarikat perlu menyediakan
asas yang kukuh untuk menangani isu-isu membimbangkan, kata seorang
jurucakap kedutaan republik itu di negara ini.
Enggan diheret dalam perang mulut dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk
Seri Idris Haron, kedutaan Amerika menawarkan tindak balas diplomatik
kepada tuduhan bahawa kuasa besar itu mahu 'membunuh' orang Melayu.
Dalam mesej teks kepada Malaysiakini, seorang jurucakap
kedutaan itu berkata, rakyat Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai
hubungan kukuh yang dibina dengan sikap saling mempercayai demi
kepentingan ekonomi dan keselamatan bersama.
"Pelaburan dalam hubungan jangka panjang antara negara kita
menyediakan asas yang lebih kukuh untuk kita juga menangani isu-isu yang
membimbangkan," katanya.
Bagaimanapun, jurucakap itu enggan mengulas mengenai tuduhan bahawa
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) melakukan fitnah berhubung
dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB.
"Kami rujuk anda kepada DOJ untuk sebarang pertanyaan mengenai kes ini," katanya apabila ditanya mengenai perkara itu.
Jurucakap itu diminta mengulas ucapan Idris yang mendakwa bahawa
tindakan Amerika Syarikat adalah helah politik untuk menjatuhkan orang
Melayu seperti apa dilakukan terhadap rakyat Iraq.
Dalam ucapannya, Idris mempersoalkan kredibiliti DOJ dengan merujuk
pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq pada tahun 2003 serta dakwaan
bahawa presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein memiliki senjata
pemusnah besar-besaran.
"Kau tipu orang Iraq, kau bunuh orang Iraq, sekarang kau nak bunuh
pula orang Melayu di Malaysia," katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno
bahagian Ampang baru-baru ini.
DOJ bulan lalu memfailkan saman sivil bagi merampas aset bernilai AS$1.5 bilion yang didakwa disalahgunakan daripada dana 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan