HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Ogos 2016

Krisis Terengganu tak selesai selagi Ahmad Said ada 'di dalam', kata penganalisis

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Selagi bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berada 'di dalam' pentadbiran kerajaan negeri, maka selagi itulah pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Ahmad Razif Abdul Rahman tidak akan lancar, kata penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir.
 
Pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata, tindakan ADUN Kijal itu yang kerap mengkritik Ahmad Razif bukan saja memperlihatkan pentadbiran kerajaan negeri yang lemah malah lebih besar ia akan memberi kesan kepada rakyat. 
 
Oleh itu beliau berpendapat, jalan terbaik kepada krisis ini adalah Ahmad Razif perlu berundur daripada jawatan Menteri Besar ataupun membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.         
 
"Selagi Ahmad Said berada 'di dalam', Ahmad Razif tak akan dapat menjalankan tugas dengan baik, beliau akan terus diganggu dan tidak dapat tidur lena malam. 
 
"Tidak ada akhirnya selagi keadaan sekarang tidak diselesaikan secara muktamad, iaitu pertama Menteri Besar sekarang berundur, dan kedua, bubarkan DUN dan adakan pilihan raya mengejut. Itu saja jalan terbaik," kata beliau sebagai mengulas kemelut politik di negeri berkenaan.
 
Malah ujar Jeniri, penyelesaian yang bakal diputuskan oleh kepimpinan tertinggi negara kelak perlu mengambilkira segenap aspek agar masalah tidak berulang.
 
Dengan erti kata yang lain, ujar jeniri, kepimpinan tertinggi perlu mengambil jalan tengah yang diterima kedua-dua pihak, pihak istana dan juga rakyat.
 
"Kalau tidak dapat cari jalan penyelesaian yang saya fikir memang sukar untuk mereka berkompromi, tidak ada jalan lain. Kepimpinan tertinggi negara kena ambil tindakan yang disenangi atau yang boleh menyenangkan hati rakyat dan pemimpin peringkat ADUN dan bawahan," ujar beliau.
 
Ahmad Razif bagaimanapun menegaskan tidak akan berundur sekalipun didesak untuk berbuat demikian.
 
Beliau malah berkata, punca kekalutan yang melanda Terengganu sekarang berpunca daripada Ahmad Said.
 
Ujarnya, pentadbiran Ahmad Said gagal dan ia boleh dilihat menerusi pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), di mana parti itu hilang tujuh kerusi daripada 24 kerusi pada PRU12. 
 
BN kini mempunyai 17 kerusi daripada 32 kerusi DUN. PAS mempunyai 14 manakala PKR mempunyai 1 kerusi.
 
Sebarang kemungkinan, sama ada Umno memecat Ahmad Said ataupun pemimpin itu keluar parti, akan menyebabkan kerajaan negeri yang diterajui BN goyah.
 
 

Tiada ulasan: