MALAYSIAKINI
Keputusan kerajaan melantik Datuk Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua
Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru
sangat mengecewakan rakyat Malaysia, kata Timbalan Presiden AMANAH
Salahuddin Ayub.
Ini kerana katanya, rakyat mengharapkan pelantikan itu daripada kalangan anggota kanan badan itu sendiri dan bukan 'orang luar'.
"Keputusan ini merupakan suatu tindakan yang berunsur peribadi kerana
telah menjadi rahsia umum sama ada di peringkat nasional atau
antarabangsa bahawa isu 1MDB yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib
Razak, sangat besar kesannya kepada integriti pentadbiran negara.
"Oleh itu saya merasakan pelantikan "orang luar" untuk menerajui SPRM adalah memang disengajakan.
"Ini demi memastikan Najib berada dalam keadaan selesa daripada semua
tuduhan yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia hari ini,"
katanya pada kenyataan media.
Katanya, sebagai bekas Anggota Jawatankuasa Khas SPRM, beliau telah
dijemput dalam satu majlis makan malam Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed
baru-baru ini dan beberapa tokoh memberikan pandangan.
"Antara tokoh yang hadir termasuklah bekas Perdana Menteri Tun
Abdullah Ahmad Badawi, bekas Gabenor Bank Negara Tan Zeti Akhtar Aziz,
bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan juga bekas Yang
DiPertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
"Dalam ucapan malam itu jelas hampir semua tokoh-tokoh ini memberi
pandangan bahawa jawatan ketua SPRM itu seharusnya diisi oleh anggota
kanan suruhanjaya itu sendiri yang selama ini telah membuktikan komitmen
bersungguh-sungguh ke arah membanteras rasuah khususnya dilakukan oleh
mereka yang berprofil tinggi," katanya.
Menurutnya, tindakan melantik Dzulkifli menunjukkan sikap Najib tidak
menghargai pasukan SPRM yang telah dibina oleh Abu Kasim dan terbukti
banyak membuat perubahan dalam urus tadbirnya.
Dzulkifli sebelum ini menggantikan Abu Kassim yang bersara daripada jawatannya selepas 32 tahun berkhidmat dengan SPRM.
Selain Abu Kassimi, dua timbalannya iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya
SPRM (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Timbalan Ketua
Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) Datuk Seri Mustafar Ali turut meninggalkan
suruhanjaya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan