shahbudindotcom
Harus
diakui bahawa kemelut politik dalam negara sekarang adalah berpunca
daripada Najib Razak. Tidak ada sebab-sebab lain yang menjadi punca
kekalutan itu.
Disebabkan
beliau menjadi Perdana Menteri, kemudian menubuhkan 1MDB dan tiba-tiba
dalam akaun peribadinya ada wang beribu-ribu juta, itulah sebenarnya
punca segala masalah yang berlarutan sehingga hari ini.
Jika
Najib tidak menubuhkan 1MDB dan tiada wang begitu banyak dijumpai dalam
akaun banknya, kemelut dalam UMNO dan negara tidak mungkin jadi seteruk
seperti sekarang.
Lebih
mungkin tidak timbul segala masalah dalam UMNO dan negara jika bukan
Najib yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2009 dahulu.
Tun
Mahathir Mohamad barangkali masih bersama UMNO jika tiada 1MDB dan
tiada wang terlalu banyak dalam akaun perjbadi Najib. Kalau pun beliau
keluar UMNO seperti yang dilakukannya ketika era Tun Abdullah Badawi
dahulu, tidak mungkin beliau bertindak sejauh hingga menubuhkan sebuah
parti baru dan bersungguh-sungguh pula mahu mengalahkan UMNO yang
ditubuhkannya sendiri pada 1988 dahulu.
Segala-galanya
adalah kerana Najib, 1MDB dan wang yang begitu banyak dalam akaun
peribadi seorang Perdana Menteri. Di bumi dan planet mana sekalipun,
pemimpin yang berdiri atas nama demokrasi tidak seharusnya memiliki wang
berbilion-bilion dalam akaun peribadi, apatah lagi jika jawapan
mengenai kekeliruan wang tersebut tidak jelas dan berbeza-beza.
Sebab
itu banyak sejarah telah membuktikan pemimpin yang berkelakuan sebegitu
pasti akan tersingkir akhirnya. Rakyat mungkin dapat menerima pemimpin
menjadi kaya, tetapi tidak jika melalui sumber yang dipertikaikan.
Sekarang
ini isu 1MDB dan wang beribu juta itu telah menyebabkan majoriti rakyat
menolak Najib. Bukan saja rakyat biasa, mereka yang tidak berparti dan
penyokong parti-parti pembangkang kian lantang menyatakan Najib
seharusnya berundur, bahkan pemimpin, ahli dan penyokong UMNO juga ramai
yang beperasaan demikian.
Tinggal
lagi disebabkan masih ada sisa-sisa sayang kepada UMNO, mereka terus
bersama parti itu dan seolah-olah menyokong kepimpinan Najib. Ramai
dalam UMNO hanya menyokong Najib secara luaran saja. Mereka sebenarnya
lebih menyokong UMNO, bukan Najib. Mereka sedar Najib telah menjadikan
UMNO kian tersisih di hati rakyat, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.
1MDB
tidak dinafikan telah menyebabkan nama Najib membusuk di peringkat
antarabangsa. Selain tujuh negara sedang menyiasat berkaitan penipuan
dan penggubahan wang haram melibatkan 1MDB, Amerika dan Singapura sudah
pun bertindak membekukan harta-harta yang dikenalpasti dilakukan melalui
aktiviti pencurian.
Di
Amerika, meskipun nama Najib tidak disebut, tetapi Malaysian Official 1
yang didakwa menerima AS$731 juta daripada wang 1MDB yang dicuri, telah
dinyatakan dengan jelas dan terang-terangan oleh Jabatan Kehakiman AS.
Dengan
ini, untuk tempoh enam bulan atau setahun akan datang, kita sudah boleh
membayangkan tindakan-tindakan di peringkat antarabangsa terhadap 1MDB
yang secara tidak langsung akan menyebabkan nama Najib akan terkait
sama.
Jika
dengan apa yang berlaku sekarang pun sudah menyebabkan nama Najib
dibenci dan sokongan terhadapnya jelas semakin berkurangan, bayangkan
sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN jika bersilih-ganti tindakan
perundangan dan penangkapan oleh negara luar turut berlaku nanti?
Meskipun
Najib masih mahu bertahan dengan jawatannya dan berulangkali mengatakan
beliau tidak bersalah, malah sudah dibersihkan oleh Peguam Negara
Malaysia, sokongan rakyat tidak mungkin bertambah baik sekiranya
beberapa negara mula mengambil tindakan.
Oleh
itu, memaksa Najib berundur sudah tidak bermakna lagi ketika ini. Yang
lebih afdal ialah UMNO dan BN harus dikalahkan melalui pilihanraya,
sesuai dengan parti baru yang sudah pun ditubuhkan dan akan menjalin
kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan