GEORGE TOWN: Polis akan menahan Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng
Chee berhubung siasatan ke atas video muzik terbarunya yang didakwa
menghina Islam dan juga agama lain.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Fraidalathrash
Wahid berkata, penyanyi rap kontroversi itu yang dipercayai masih berada
di luar negara, akan ditahan sebaik sahaja pulang ke negara ini.
"Rekod yang diperoleh mendapati dia kini masih berada di luar negara.
"Kita memang akan menahannya sebaik sahaja dia pulang ke Malaysia bagi
membantu siasatan berhubung rakaman klip video yang dikatakan telah
tersebar menerusi laman sosial Facebook dan WhatsApp minggu lalu,"
katanya yang dipetik akhbar Utusan Malaysia.
Pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung video muzik Namewee
berjudul 'Oh My God', berikutan laporan yang dibuat oleh 20 pertubuhan
bukan kerajaan (NGO), mendakwa bahawa penyanyi kelahiran Johor
mengaibkan kesucian tempat ibadah di negara ini.
Mior Farid juga berkata pihaknya menerima sebanyak empat laporan polis
terhadap Namewee yang dibuat orang awam di Balai Polis Jalan Patani
sejak 27 Julai lalu.
Katanya, laporan pertama diterima daripada seorang Pengerusi Masjid
Terapung di Tanjung Bungah selepas menerima rakaman klip video yang
dinyanyikan Namewee dipercayai dilakukan di dalam masjid berkenaan.
"Susulan itu, kita telah menerima tiga lagi laporan yang dibuat NGO mengenai isu sama yang diterima mereka," katanya.
Kes itu dilaporkan sedang disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan
kerana mencemarkan tempat ibadat dengan niat untuk menghina agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan