MALAYSIAKINI
Adalah
tidak adil menuduh bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin membelakangkan kepelbagaian budaya dengan membuka keahlian hanya
kepada bumiputera dalam parti baru yang akan ditubuhkannya.
Wartawan veteran Datuk Kadir Jasin berkata langkah itu adalah
strategik supaya tidak bertembung dengan parti lawan BN yang berlatar
belakang pelbagai kaum.
Kadir berkata ini adalah hasil perbincangan antara penganjur parti
baru itu dan PKR, DAP, AMANAH serta PAS yang menunjukkan "tanda-tanda
positif".
"Mereka yang datang dari parti berbilang kaum, terutamanya PKR dan
DAP, tidak mahu melihat satu lagi parti pelbagai kaum bersaing untuk
sokongan dan lebih teruk lagi, mencuri ahli-ahli mereka.
"Tetapi mereka telah sebulat suara bahawa parti Melayu / berdasarkan
bumiputera baru itu akan memainkan peranan penting dalam pakatan
pembangkang sedia ada," kata Kadir, yang juga mengambil bahagian dalam
perbincangan itu.
Beliau berkata penganjur parti baru itu percaya parti itu akan menyediakan platform alternatif kepada Umno.
Matlamat utama, katanya, adalah untuk memecahkan hagemoni BN dengan
menentang parti itu dalam pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya
umum ke-14.
Ini termasuk kerjasama dengan bekas naib presiden Umno Datuk Seri
Shafie Apdal yang akan menubuhkan parti berasaskan bumiputera di Sabah.
"Oleh itu, adalah salah untuk menuduh mereka yang memulakan parti
baru itu mengabaikan kepelbagai kaum. Parti baru ini berjanji untuk
memberi pengiktirafan sepenuhnya kepada berbilang kaum dan pembaharuan
politik sambil meminimumkan konflik yang mungkin berlaku dengan
parti-parti politik pembangkang yang sedia ada," katanya.
Bekas ketua pengarang New Straits Times itu minggu lepas mengesahkan bahawa keanggotaan parti yang bakal ditubuhkan Muhyiddin hanya akan dibuka kepada kaum bumiputera.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi pengerusi
parti itu manakala Muhyiddin sebagai presiden. Selain itu Presiden
Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Kamarul Azman Habibur Rahman dan
bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan dilantik
sebagai setiausaha dan bendahari parti itu.
Anggota jawatankuasa yang lain termasuk bekas Ketua Wanita Umno
Langkawi Anina Saadudin, bekas Ketua Pemuda Umno Bendang Baru Akhramsyah
Sanusi dan pemimpin pelajar Challenger Syed Saddiq Abdul Rahman,
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan