HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Ogos 2016

Parti serpihan ibarat tempah 'kubur'

Parti serpihan ibarat tempah 'kubur'
Ahmad Zahid (berdiri, kiri) berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bagan Datoh, pagi tadi.‎ - Foto Sinar Harian


BAGAN DATOH - Parti baharu yang ditubuhkan daripada serpihan Umno ibarat menempah 'kubur' sendiri dan bakal mengikut jejak parti-parti serpihan sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejarah menunjukkan tidak ada sebuah parti serpihan Umno boleh mengalahkan parti keramat Umno sehingga hari ini.

"Umno bukan ditubuh sebagai parti jalanan, sebaliknya ia diwujudkan atas kesatuan persatuan dan organisasi Melayu.

"Buatlah parti baharu, kerana pengasas Umno sendiri tidak pernah bersetuju dengan Tuanku Abdul Rahman dan buat parti Kemerdekaan lalu terkubur," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bagan Datoh, pagi tadi.

Menurut Ahmad Zahid, parti serpihan Umno sebelum ini wujud atas rasa ketidakpuasan hati bekas pemimpin yang mana bermaksud 'mundar mandir tanpa jawatan'.

"Kita harus melihat sejarah bagaimana pengasas Umno sendiri ditolak orang-orang Umno kerana membuat parti serpihan lain.

"Saya ingin mengingatkan diri sendiri dan semua kalau mahu berbeza pendapat dan membenci seseorang itu hak mereka, tetapi jangan pernah menikam belakang Umno kerana di akhirnya anda akan dibenci dan ditolak oleh rakyat," katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan kepada individu yang menubuh parti baharu bahawa tidak semestinya jika dahulu mereka mendapat sokongan maka sekarang juga sama.

"Kita sokong dia dahulu kerana dia ada jawatan dalam parti dan kerajaan," katanya.


Tiada ulasan: