Gammbar Hiasan.
PUCHONG – Aplikasi permainan maya, Pokemon Go yang baharu masuk ke negara ini sejak kelmarin kini sudah menjadi kegilaan pelayar media sosial.
Permainan tersebut menguji kesabaran si pemain untuk berjalan dari satu tempat ke tempat lain bagi memburu watak Pokemon berhampiran mereka.
Bagi Muhammad Afiq Mohd Asri, 25, dia yang baru ‘tiba’ di level empat mengakui permainan ini membahayakan diri sekiranya terleka.
Katanya, paling dibimbangi jika fokus diberi sepenuhnya kepada permainan dan buruan berada di tengah laluan jalan raya.
“Permainan ini mengujakan, namun boleh membahayakan nyawa kerana watak ini adakalanya berada di tengah jalan raya.
“Pemain kena berhati-hati, jangan sampai berlaku macam tragedi di luar negara hingga membawa maut,” katanya yang berjaya menangkap 16 watak Pokemon.
Muhammad Afiq berkata, permainan itu juga boleh membawa pergaduhan sesama rakan jika memburu watak Pokemon di tempat sama.
“Ada yang dah bermasam muka sebab berebut tangkap watak Pokemon ni, bagi saya pemain kena kawal dirilah,” katanya.
Bagi pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 26, berkata, permainan baru dimuat turunnya itu begitu menyeronokkan untuk mengisi masa lapang.
“Saya baru saja ‘install’ aplikasi malam tadi main sikit-sikit saja… sebab ia boleh main di mana-mana saja. Sekarang saya baru di level tiga, nak kena tiba di level lima barulah boleh ‘berperang’ dengan pemain Pokemon Go yang lain,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan