HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Ogos 2016

Polis akan mula siasat surat ancaman IS

INTAN NUR IDAYU



AncamanIS-PDRM


KUALA LUMPUR: Pihak polis akan mula menyiasat sampul surat bertanda “Ancaman IS” yang diterima sebuah balai polis di Seremban, hari ini.

Difahamkan, surat ancaman tersebut turut dikepilkan sekali gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Antara gambar-gambar lain yang dipercayai turut berada di dalam sampul itu adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Juzlan Mohamed dan Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Memetik laporan The Star, surat ugutan tersebut mendakwa mereka mempunyai seramai 700 ahli IS di Negeri Sembilan. 

Pengirim dipercayai cuba menunjukkan pengaruh kumpulan terbabit di negeri berkenaan kepada pihak polis.

Menurut Ketua Polis Negara pula, surat itu dihantar secara pos dan katanya pihak polis akan menyiasat asal usul surat tersebut bagi mengenal pasti identiti individu yang menghantarnya.

“Surat ini dipercayai dihantar kepada beberapa balai polis di Negeri Sembilan termasuklah Port Dickson dan Nilai.

“Motif mereka menghantar surat ini masih belum jelas kerana ia turut menyatakan nama pemimpin luar negara,” katanya. 

Tegas Khalid lagi, pihak polis tidak akan memandang ringan perkara ini dan akan menyiasat individu yang terlibat dengan lebih mendalam. 

“Ancaman ini bagaimanapun tidak akan melemahkan semangat kita (anggota polis) untuk meneruskan tugas seperti biasa,” ujarnya. 

Sebelum ini, satu video IS memaparkan seorang rakyat Malaysia yang berasal dari Negeri Sembilan, memberi amaran bahawa pengganas akan menyerang anggota polis.

“Kepada mereka yang berada di bukit-bukit yang aman, ketahuilah kalian tidak akan aman sebentar lagi.

“Kami akan pulang untuk menyerang kalian ataupun sahabat-sahabat kami yang berada di sana, insya-Allah akan memenggal leher-leher kalian,” kata lelaki di dalam video itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Mohd Rafi Udin. 


Tiada ulasan: