HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Ogos 2016

Siapa tidak sayang Tun Mahathir?, tanya Johari

Datuk Johari Abdul Ghani
Johari Abdul Ghani


SHAH ALAM - Ketika kesetiaan pimpinan Umno menjadi tumpuan selepas bekas pemimpinnya menubuhkan parti lain, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyatakan ikrar taat setianya kepada parti meskipun beliau penyokong kuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lahir dalam keluarga Umno, Johari yang juga ahli Parlimen Titiwangsa menegaskan beliau akan terus bersama mempertahankan parti.

“Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga Umno, saya tidak akan meninggalkan parti waima apa pun yang terjadi.

“Sudah semestinya saya tetap setia kepada pucuk pimpinan. Saya akan mempertahankan parti dan memastikan apa yang kita lakukan demi kepentingan orang Melayu dan bangsa kita,” katanya pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan Umno Cheras, semalam, lapor blog Umno bahagian itu.

Mahathir bersama bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menubuhkan parti baharu, Parti Peribumi Bersatu (Bersatu) yang masih dalam proses pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Dalam ucapan sama, Johari mendedahkan beliau merupakan produk kepimpinan Mahathir sehingga berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Siapa yang tidak sayang Tun Mahathir? Saya salah seorang daripada produknya kerana kepimpinan beliau membolehkan saya melanjutkan pelajaran ke luar negara sehingga saya menjadi seorang akauntan bertauliah supaya dapat berbakti kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Johari melihat Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee sebagai pemimpin yang tulen kerana tidak berganjak daripada perjuangan asal.

“Beliau juga penyokong kuat Tun Mahathir tetapi apabila Tun Mahathir menubuhkan parti baharu, beliau (Syed Ali) tidak berganjak.

"Kami pernah bekerjasama apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, tetapi apabila beliau meninggalkan parti, Syed Ali tetap kekal dalam Umno,” katanya.


Tiada ulasan: