RIO DE JANEIRO: Membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik bukanlah
suatu keutamaan bagi Malaysia memandangkan negara ini tidak memenangi
banyak pingat pada temasya berkenaan, kata Menteri Belia dan Sukan,
Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata untuk menganjurkan temasya sukan terbesar di dunia itu
bukanlah langkah yang realistik disebabkan sehingga kini Malaysia masih
belum meraih pingat emas pertamanya dalam kejohanan Olimpik.
"Menganjurkan kejohanan sukan seperti itu hanya akan membebani negara
dengan hutang dan masalah lain yang berkaitan sekiranya negara gagal
untuk menghasilkan secara konsisten pemenang pingat di pentas dunia.
"Apa yang berlaku selepas temasya ini... berdasarkan keadaan ekonomi
semasa, negara tuan rumah hanya akan dibebani hutang," katanya pada
sidang akhbar selepas melawat Perkampungan Sukan Temasya Olimpik Rio di
sini.
Berikutan kedudukan ekonomi semasa, beliau berkata kementeriannya akan
memberi keutamaan kepada pembiayaan sukan dalam program podium yang
dilancarkan bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Pada masa ini, semua badan kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan
berdepan langkah berjimat cermat dan kami perlu memberi keutamaan kepada
perbelanjaan bagi program podium serta menyemak semula pembiayaan bagi
sukan memunculkan pingat seperti karate dalam Olimpik Tokyo," katanya.
Khairy berkata Malaysia mesti memenangi emas dalam Olimpik Rio oleh
kerana ia akan meningkatkan pembiayaan kerajaan dalam program podium.
Tahun lepas, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran
Tuanku Ja'afar berkata Malaysia mungkin berganding tenaga bersama negara
jirannya, Singapura, untuk merealisasikan impian mereka dalam
menganjurkan Olimpik buat julung kali di rantau Asia Tenggara.
Beliau berkata penganjuran sukan berprestij itu oleh dua negara tuan
rumah merupakan suatu kemungkinan di bawah agenda baharu Jawatankuasa
Olimpik Antarabangsa.
Katanya kini sudah terlambat untuk menyertai pembidaan bagi penganjuran
Olimpik 2024 namun pertimbangan boleh diberi kepada penganjuran Olimpik
2028 atau 2032.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan