HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Ogos 2016


MALAYSIAKINI


Walaupun kesal dengan penggunaan istilah “Keling”oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, PKR mengingatkan supaya perhatian masyarakat tidak beralih daripada isu pentadbiran perdana menteri.

Naib Presiden PKR Dr Shaharuddin Badaruddin menyeru media tidak mengalihkan perhatian awam terhadap isu 1MDB, terutamanya selepas saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat (AS).

“Walaupun saya kesal dengan penggunaan perkataan tersebut dan menggesa agar Dr Mahathir memikirkan semula keperluan mengguna perkataan tersebut di masa hadapan, pada masa yang sama rakyat Malaysia perlu berwaspada tentang usaha mengalih pandangan umum dari isu pokok yang dibangkit mantan perdana menteri.

“Berilah penerangan sebenar kepada rakyat tentang isu 1MDB!” katanya yang membangkitkan identiti Malaysian Official 1 yang disebut dalam dokumen mahkamah DOJ.

Video memaparkan Mahathir menggunakan perkataan “Keling” beredar di media sosial dan aplikasi pesanan Whatsapp sejak Khamis.

Pengedaran video itu dikesan ketika MIC akan mengadakan majlis makan malam sempena 70 tahun parti itu pada Jumaat.

Ia memuatkan kritikan Mahathir terhadap cara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menangani kumpulan bersenjata IS di negara ini.

“Kita tengok gambar Najib pegang senapang selalu, lawan dengan IS. Kata apa... orang Keling kata 'podah'. Ini bohong.”

Sekurang-kurangnya satu laporan polis telah dibuat terhadap bekas perdana menteri itu berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, merujuk itu penggunaan perkataan keling, Shaharuddin berkata istilah yang mempunyai konotasi negatif kepada sesuatu kaum mesti dirombak.

“Peribahasa yang menggunakan istilah-istilah seumpama ini harus dinilai semula,” katanya.

“Hatta istilah-istilah yang sering digunakan dalam pengamalan agama seperti 'Cina buta' juga harus dibuang kerana ia tidak mempunyai justifikasi hukum.”

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat terhadap Mahathir.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan beberapa pemimpin MIC lain juga mengkritik bekas perdana menteri kerana menggunakan istilah berkenaan.

Antara lain, Ramasamy menyoal pemimpin masyarakat sivil bagaimana mereka boleh menyokong tindakan Mahathir untuk menubuhkan parti baru apabila belaiu masih terkongkong dengan minda perkauman.

Tiada ulasan: