HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 September 2016

Pandikar tuntut "Dewi Sukma" mohon maaf

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak memandang ringan kenyataan di Facebook yang mendakwa beliau sudah lupa adat resam dan budaya yang menjadi amalan suku kaum Iranun.
 
Pandikar dalam satu kenyataan pada Khamis memberi tempoh selama seminggu kepada pengguna Facebook "Dewi Sukma" untuk meminta maaf berhubung kenyataan di laman media sosial itu.
 
Malah, Pandikar turut memberi amaran akan mengheret wanita itu ke Mahkamah Anak Negeri selain membuat aduan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
 
Wanita itu turut memuat naik gambar Pandikar di laman Facebooknya pada 28 September dengan berkata ia bukan budaya dan etnik Iranun mengadakan apa-apa sambutan selama 20 hari di sebuah kampung bagi memperingati seseorang yang telah meninggal dunia.
 
Kenyataan itu merujuk kepada satu sambutan karnival selama seminggu yang diadakan kira-kira 1 kilometer (1km) dari rumah keluarga mangsa yang meninggal dunia di Kampung Nanamum, Kota Belud.
 
Dalam kenyataannya, wanita itu mendakwa salah seorang ahli keluarga terbabit meninggalkan dunia pada 21 September lalu manakala sambutan karnival diadakan bermula dari 19 hingga 25 September lalu.
 
"Soalan saya kenapa kita lupa nilai-nilai hidup dan tradisi kita. Di mana-mana kampung, jika berlaku kematian, penduduk kampung akan berkabung selama 20 hari tanpa apa-apa sambutan," tulis wanita tersebut.
 
Pandikar berkata beliau bersedia menerima sebarang kritikan untuk melakukan penambahbaikan.
 
"Namun saya tidak boleh terima jika seseorang berkata saya terlupa dan mengabaikan adat dan budaya saya. Dewi Sukma seolah-olah cuba memberitahu orang ramai bahawa saya tidak tahu adat suku kaum saya sendiri," katanya.
 
Namun tidak dapat disahkan sama ada akaun Facebook menggunakan nama "Dewi Sukma" benar-benar wujud.
 
 

Tiada ulasan: