Zulaikha Zulkifli
Selepas MCA, parti Gerakan turut berpendapat bahawa kerajaan patut
mengutamakan rang undang-undang (RUU) kerajaan do sidang Parlimen depan
berbanding RUU persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang.
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong memberitahu, terdapat banyak
rang undang-undang daripada pihak kerajaan pada sesi sidang Parlimen
Oktober depan dan ia patut diberi keutamaan.
"Kita merasakan bahawa banyak rang undang-undang kerajaan dan ia
mesti diberi keutamaan berbanding rang undang-undang persendirian.
"Jadi, mungkin rang undang-undang persendirian itu tak dapat
dibentangkan pada sesi depan kerana terdapat banyak rang undang-undang
kerajaan dan ia patut diberi keutamaan. Dan tempoh (sesi parlimen) pun
tak lama," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan berhubung pendirian
Gerakan mengenai rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355
yang dibawa oleh Abdul Hadi.
Semalam, Malaysiakini melaporkan
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa kerajaan tidak
mendahulukan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat.
"Ia adalah rang undang-undang persendirian dan bukan rang
undang-undang kerajaan. Dan rang undang-undang kerajaan sepatutnya
diberi keutamaan," kata Liow.
Parti komponen dalam BN adalah antara yang menolak cadangan pindaan
akta berkenaan manakala Umno sendiri tidak memberikan pendirian yang
jelas mengenainya.
Usul mengenai pindaan Akta 355 dijangka dibentangkan Abdul Hadi pada sidang parlimen Oktober ini.
Pada Mei lalu parlimen membenarkan usul meminda Akta 355 Mahkamah
Syariah Kelantan dibacakan Abdul Hadi namun perbahasannya ditunda juga
atas permohonan anggota parlimen Marang itu.
Akta 355 sedang cuba dipinda melalui usul persendirian dibawa Abdul Hadi yang mendakwa akan memperkasakan mahkamah syariah.
Bagaimanapun sesetengah pihak menganggap ia adalah pembuka jalan
kepada pelaksanaan undang-undang hudud, manakala kumpulan lain
mempersoalkan kewajaran serta kesesuaiannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan