HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 September 2016

Risda, Ikiam nak keluar logo halal baru

BERNAMA


Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan melancarkan logo halal baru khusus bagi produk keluaran Muslim, awal tahun depan.

Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin (gambar) berkata logo yang akan dilancarkan pada satu persidangan itu, bertujuan mengesahkan produk berkenaan keluaran usahawan Muslim selepas memperoleh sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Keperluan menambah satu lagi logo halal adalah bagi membezakan produk keluaran Muslim dan bukan Muslim. Ia juga dapat membantu kalangan usahawan pekebun kecil Risda dan bukan agensi itu menerajui pasaran halal domestik dan antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda peringkat negeri di Ipoh, Perak hari ini.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata logo baru itu juga bagi meredakan keraguan segelintir masyarakat mengenai isu halal berkenaan.

Selain itu, katanya, usahawan Malaysia berpotensi besar menerajui industri halal dunia berikutan persetujuan negara menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dianggotai 12 negara.

Malaysia kini dalam proses ratifikasi TPPA selama dua tahun.

"Di peringkat Asean misalnya, ada sebuah syarikat Muslim yang memiliki 60 cawangan di seluruh China meminta Risda membekal serta memasarkan produk halal kepada mereka. Oleh itu, peluang berkenaan sudah tersedia," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan usahawan Melayu untuk mendapatkan sijil halal berikutan peratusan mereka yang terlalu kecil berbanding usahawan bukan Muslim.

"Syarikat Muslim yang mempunyai sijil halal untuk dipasarkan dalam negara hanya 28 peratus berbanding 72 peratus syarikat bukan Islam.

"Malah, syarikat milik Muslim yang berdaftar Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi tujuan eksport hanyalah 11 peratus berbanding 89 peratus dimiliki bukan Islam," katanya.

Menyentuh pembentangan Bajet 2017 pada bulan depan, beliau berharap Risda akan menerima peruntukan sepenuhnya.

Tiada ulasan: