HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 September 2016

Pembantu rumah lari, tinggalkan bayi berseorangan

Pembantu rumah lari, tinggalkan bayi berseorangan
Bayi yang ditinggalkan dalam rumah berseorangan selepas pembantu rumah melarikan diri.


MELAKA TENGAH - Naluri seorang wanita menyelamatkan bayinya berusia sembilan bulan yang ditinggalkan berseorangan dalam rumah oleh pembantu rumah warga asing, kelmarin.

Ibu berusia 30-an itu yang merupakan seorang doktor segera pulang ke rumahnya di Taman Putra Bukit Baru, di sini, selepas merasakan sesuatu perkara berlaku apabila panggilan kepada pembantu rumahnya tidak berjawab, dalam kejadian jam 1 petang.

Menurut sumber, wanita tersebut bergegas pulang ke rumah sebelum mengesyaki pembantu rumahnya sudah melarikan diri apabila melihat pintu pagar terbuka, bagaimanapun kesemua pintu pula berkunci lalu menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II Dzulkarnain Abd Halim berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi kedengaran suara bayi menangis dari dalam rumah berkenaan.

“Usaha menyelamat dilakukan dengan memecahkan tombol dan mangga pintu dapur menggunakan kuku kambing sebelum pintu berjaya dibuka 10 minit dan kita menemui seorang bayi lelaki bersendirian di dapur.

“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa ditinggalkan di bilik sebelum dia merangkak ke ruang dapur.
"Semasa ditemui, bayi itu tidak menangis kemungkinan terkejut melihat kehadiran pihak berkuasa,” katanya di sini semalam.

Dzulkarnain berkata, bayi itu kemudian diserahkan kepada keluarga dan dinasihatkan untuk melaporkan kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah,  Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah  mengesahkan menerima laporan kehilangan pembantu rumah daripada keluarga bayi berkenaan.
Beliau berkata, kes dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.


Tiada ulasan: