HALAMAN SANTAI
Selasa, 27 September 2016
Dua Calon Salinng Bersaing Rebut Jawatan PM, Jika Pembangkang Berjaya Tawan Putrajaya
Dua calon Perdana Menteri saling bersaing di antara satu sama lain jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon yang paling layak menjawat jawatan tersebut.
“Tapi pada masa ini kita belum buat keputusan, kecuali jika pembangkang menang, besar kemungkinan Perdana Menteri adalah Muhyiddin.
“Tetapi ia bergantung kepada parti dan ia juga bergantung kepada rakan pakatan yang lain mengenai siapa yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri,” katanya menerusi satu ceramah di London minggu lalu.
Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata, keputusan mengenainya tidak akan dibuat sekarang kerana “sesetengah orang akan kecewa dan akan menyebabkan parti berpecah”.
“Perdana Menteri masa depan tidak akan terlalu bebas kerana dalam parti baharu (PPBM), kita mempunyai bukan sahaja presiden tetapi juga pengerusi,” katanya.
Dr Mahathir berkata beliau selaku pengerusi parti itu akan berunding mengenai urusan kerajaan untuk memastikan bahawa Perdana Menteri tidak membuat keputusan dengan sendiri.
“Sudah tentu beliau mempunyai kabinet. Tetapi kabinet kadang-kadang menjadi terlalu patuh kepada Perdana Menteri kerana beliau melantik mereka, (maka) mereka tidak akan menentang.
“Parti baharu (PPBM), kami memastikan kuasa presiden akan tertakluk kepada perjanjian dengan sekumpulan AJK di dalam parti,” katanya.
sementara itu, Pakatan Harapan tetap berkeras mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai bakal PM jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya.
Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai berkata rundingan lanjut mengenai siapa yang akan dilantik sebagai perdana menteri tidak perlu lagi dilakukan kerana Anwar sebelum ini sudah diputuskan untuk mengisi jawatan tersebut sekiranya pembangkang menang.
“Keputusan Anwar dipilih menjadi perdana menteri akan kekal melainkan Pakatan Harapan memutuskan sebaliknya pada masa akan datang.
“Setakat ini, kata sepakat tetap sama,” katanya kepada The Star pada Selasa.
Tan berkata demikian bagi mengulas ucapan Dr Mahathir yang mahu Muhyiddin dicalonkan mengisi jawatan tersebut jika pembangkang memenangi PRU 14.
Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata walaupun Dr Mahathir mempunyai hak untuk menyatakan pandangan peribadinya mengenai perkara itu, beliau tidak patut ‘menggelabahkan’ sesiapa sahaja.
“Dr Mahathir tahu rakyat sentiasa memilih Anwar kerana pada pilihan raya umum yang lalu, 52 peratus undi popular memilih beliau untuk mengetuai pakatan pembangkang,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan