HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 September 2016

Elak dedah diri kepada jenayah siber





 

Oleh NOR AMILINA ISMAIL 


INTERNET sudah menjadi satu keperluan, justeru tidak hairan bilangan pengguna internet di Malaysia mencecah 25 juta orang pada 2015. Dengan adanya gajet dan peranti mudah alih yang canggih, internet semakin mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat pada bila-bila masa.

Kehidupan manusia kini banyak bergantung kepada internet. Pendek kata, daripada celik mata hinggalah mahu tidur pun kita menghadap internet. Di sebalik kebaikan dan kemudahan internet, tanpa disedari kita juga terdedah kepada jenayah siber.

Setiap aktiviti yang dikemas kini seperti berkongsi gambar, online banking, bersembang dengan kenalan di Facebook atau Twitter, membeli-belah secara online dan sebagainya boleh menjadikan kita sebagai sasaran jenayah siber.

Buktinya, pelbagai masalah timbul termasuk kecurian gambar peribadi, maklumat diri dan sebagainya dilakukan sewenang-wenangnya oleh individu tidak bertanggungjawab untuk membuka akaun palsu Facebook bagi tujuan penyamaran.

Sindiket penipuan Love Scam antara contoh jenayah siber yang semakin berleluasa. Dilaporkan sebanyak 4,673 kes melibatkan sindiket Love Scam dengan jumlah kerugian sebanyak RM182.3 juta sejak 2013 hingga Mei lalu. Kes seumpama itu meningkat kerana pada hari ini, ramai dilihat suka mengemaskini status dengan perkara yang sepatutnya privasi.

Hakikatnya, individu itu sendiri dengan rela hati mendedahkan maklumat kepada penjenayah siber. Lebih parah ada yang sanggup memberitahu seluruh dunia masalah peribadi yang dialami.

Sebagai orang Islam, sebaik-baiknya masalah dihadapi diadu kepada Allah SWT, bukannya dikongsi dengan orang awam dalam internet kerana banyak perkara buruk boleh berlaku. Malah ajaran Islam juga melarang keras aib seseorang didedah atau diceritakan kepada orang lain.

Tiada ulasan: